Kerajaan tabur janji: 'Dakwaan Presiden Makkal Sakti tidak berpijak di bumi nyata'


Dakwaan Presiden Parti Makkal Sakti Malaysia, Datuk Seri RS Thanenthiran bahawa Kerajaan MADANI sekadar menabur janji pilihanraya dan gagal membantu rakyat 'dipatahkan' dengan pelbagai perkembangan positif ekonomi negara, termasuk pertumbuhan 5.7% pada separuh pertama tahun ini dan peningkatan kedudukan Malaysia dalam indeks daya saing dunia.
Setiausaha Pengelola KEADILAN Selangor, Jestin Raj Savarimuthu (gambar) berkata, kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sememangnya berada di landasan yang betul apabila nilai ringgit kekal stabil sepanjang tahun ini dan antara matawang yang kukuh di rantau Asia.
"Setakat semalam, ringgit meningkat kepada RM4.08 berbanding dolar Amerika daripada beberapa tahun yang lalu yang teruk keadaannya.
"Kementerian Kewangan pula mengatakan pelaburan yang diluluskan pada suku pertama 2026 kekal sebanyak RM92.8 bilion. Selain itu, kedudukan negara kini melonjak kepada tangga ke-15 dalam Indeks Daya Saing Dunia 2026 oleh International Institute for Management Development (IMD) berbanding tangga ke-23 pada tahun lepas.
"Peruntukan STR dan SARA (meningkat) daripada RM10 bilion pada 2024 kepada RM15 bilion, menjadikannya peruntukan bantuan terbesar bersasar yang tertinggi dalam sejarah.
"Dalam masa sama, kuota BUDI 95 dan BUDI Diesel juga telah dikembalikan walaupun peningkatan harga minyak mentah dunia akibat konflik Asia Barat kerana kerajaan berikhtiar untuk meringankan beban hidup rakyat," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam kenyataan sama, Jestin Raj turut membidas Thanenthiran yang disifatkannya masih bercakap seolah-olah 'tidak berpijak di bumi yang nyata'.
"Parti beliau tidak mempunyai satu representasi kerusi di Dewan Rakyat mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi masih boleh minta Barisan Nasional (BN) untuk keluar daripada Kerajaan Perpaduan secepat mungkin.
"Selain itu, beliau kata kerajaan sekarang mempunyai dendam dan sedang menguji pimpinan BN kerana Pakatan Harapan (PH) tidak berjaya di PRN-PRN yang telah diadakan.
"Parti yang dikatakan mewakili masyarakat India perlu 'ukur baju di badan sendiri'. Hal ini kerana tiada seorang wakil masyarakat India yang menang di PRN Negeri Sembilan mewakili BN apatah lagi PN.
"Saya ingin mengingatkan bahawa ketegasan dalam bersuara tidak semestinya memberi lesen untuk kita bercakap 'semberono'tanpa menyemak fakta," ujar beliau lagi.




Comments