PM tolak desakan pecat setiausaha politik
- Suara Keadilan

- 2m
- 2 min read

Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak desakan mantan Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli untuk memecat setiausaha politiknya yang dikaitkan dengan 'surat sokongan' ke atas projek pembinaan hospital di bawah Kementerian Kesihatan.
Menurut Anwar, projek berkenaan tidak diberikan kepada kontraktor berdasarkan surat berkenaan dan beliau juga telah bertindak mengeluarkan teguran keras ke atas pegawainya itu.
"Saya faham dari mana datangnya pandangan beliau (Rafizi), tetapi kita perlu melihat kepada tahap kesalahan.
"Saya memang tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan (setiausaha politik itu), tetapi kita perlu tanya sama ada projek itu benar-benar diberikan berdasarkan suratnya... jawapannya tidak.
"Jadi, kita sudah menegurnya... kita tidak boleh mendesak tindakan tegas diambil hanya kerana kita tidak bersetuju dengan orang itu. Kita perlu konsisten.
"Saya telah menggunakan kata-kata keras terhadap kakitangan saya supaya ia menjadi pengajaran kepada yang lain juga," katanya dipetik BH.
PM dilaporkan berkata demikian kepada wartawan di dalam pesawat sewaan Malaysia Airlines yang membawanya ke Afrika Selatan pada ketinggian kira-kira 30,000 kaki, selepas lawatan rasminya ke Addis Ababa, Ethiopia semalam.
Anwar hadir ke Sidang Kemuncak Pemimpin G20 di Afrika Selatan sebagai Pengerusi ASEAN 2025, dan akan berada di bandar terbesar Johannesburg sehingga 23 November sebelum berlepas ke Nairobi, Kenya.
Pada Selasa lalu, PM memaklumkan Dewan Rakyat bahawa setiausaha politiknya sudah ditegur berhubung isu berkenaan, dan peraturan kerajaan melarang pengeluaran surat sokongan seperti itu.
Mengenai cadangan agar setiausaha politiknya dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut, Anwar menjelaskan surat berkenaan bukan arahan dan sesuai dengan pekeliling yang dikeluarkannya sejak Mei tahun lalu.
"Surat itu bukan arahan. Anda dengar orang bercakap tentang rasuah ada satu dua kes, tetapi mereka langsung berdiam diri tentang berbilion ringgit yang dicuri apabila ia melibatkan rakan atau penyumbang mereka.
"Bagi saya, ini lebih serius. Saya tidak ada simpati kepada mereka yang melarikan berbilion. Kamu pejam mata pada semua kes besar ini tetapi memperbesarkan isu kecil... betul, ia memang tidak boleh dibiarkan, tetapi ia tidak patut disamakan dengan kes berbilion yang dicuri," katanya.
PM juga mempersoalkan pembangkang yang terlalu mengkritik kerajaan dalam hal hal kecil sedangkan mereka sewajarnya mengetengahkan kes rasuah besar melibatkan orang kenamaan, namun hal itu tidak berlaku.









Comments