PM tolak 'bertempur' demi kestabilan politik, pertumbuhan ekonomi
- Suara Keadilan

- 3 days ago
- 1 min read

Kestabilan politik merupakan asas utama untuk membina keyakinan pelabur, memacu pertumbuhan ekonomi, dan membolehkan kerajaan terus menjaga kesejahteraan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan selain faktor kekuatan serta prospek ekonomi, pelabur amat memerlukan jaminan kestabilan sesebuah negara sebelum membuat keputusan untuk menanam modal.
Tambahnya, dalam situasi politik semasa, usaha mengimbangi kepentingan politik dan ekonomi negara memerlukan kompromi bagi memastikan kedua-duanya terus berkembang sekali gus memelihara kesetabilan negara.
"Orang sergah saya kerana nampak kompromi, tapi saya ada pilihan. (Kalau) Bertempur, ekonomi menjunam.
"Maka saya memilih untuk menjaga supaya politik itu stabil dan ekonomi berkembang," katanya dipetik ketika berucap pada majlis penutup Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 di Putrajaya pada Selasa.
Anwar turut menjelaskan, kompromi yang terpaksa diambil memberi keterbatasan tentang langkah-langkah yang diambil pentadbirannya.
Sementara itu menurutnya, kekuatan asas ekonomi ketika ini membolehkan kerajaan berada pada kedudukan lebih selesa untuk mempertimbangkan tambahan peruntukan.
Bagaimanapun setiap permintaan perlu dinilai dalam kerangka makroekonomi serta mengambil kira kekangan kewangan negara.
"Pertumbuhan ekonomi yang kukuh memberi ruang kepada kerajaan meningkatkan perbelanjaan dan peruntukan bagi menangani keperluan rakyat," tambahnya.




Comments