top of page

PM tinjau kawasan banjir di Sabah, arahkan pembaikan segera

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 20
  • 1 min read

PM Anwar bertanya khabar mangsa banjir Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK St Paul Kolopis
PM Anwar bertanya khabar mangsa banjir Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK St Paul Kolopis

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turun ke beberapa kawasan di Sabah semalam untuk meninjau sendiri kerosakan akibat banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa daerah di negeri itu.


Beliau terkesan melihat keadaan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya dan pangsapuri Country Heights Penampang yang terjejas teruk dan memerlukan tindakan segera.


"Justeru itu saya telah arahkan agensi Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk menyegerakan proses baik pulih dan meneliti keperluan peruntukan tambahan.


"Keutamaan ketika ini adalah memulihkan tempat tinggal serta barangan keperluan asas mangsa," katanya dalam hantaran di Facebook.


Perdana Menteri berkata pihaknya berasa amat terharu melihat ketabahan rakyat Sabah yang masih mampu tersenyum meskipun dilanda ujian ketika bertemu mangsa-mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan St Paul Kolopis dan Kampung Sarapung.


"Insya-Allah, seluruh jentera Kerajaan Persekutuan dan negeri akan berusaha sedaya upaya memulihkan kehidupan kalian secepat mungkin," ujarnya.


Dalam pada itu beliau merakamkan penghargaan tertinggi kepada pasukan keselamatan, pengurusan bencana dan sukarelawan yang telah menyabung nyawa demi memastikan keselamatan rakyat yang terkesan.


"Tidak terkecuali petugas Sabah Electricity yang bekerja tanpa henti memulihkan bekalan elektrik yang terjejas.


"Takziah dan penghormatan tertinggi buat Allahyarham Masedeh Rosmin yang gugur ketika bertugas. Pengorbanan mu demi rakyat Sabah pasti dikenang selamanya," kata beliau.


Anwar berkata beliau juga berterima kasih kepada Ketua Menteri Sabah dan jentera Kerajaan Negeri yang bertindak pantas sejak hari pertama bencana dengan menumpukan sepenuh perhatian pada keselamatan serta kebajikan rakyat.


"Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan kepada semua yang terkesan dan mempermudahkan usaha kita bersama dalam memulihkan kehidupan rakyat Sabah," kata beliau.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page