Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersetuju dengan analisis terbaharu oleh Ilham Centre mendapati populariti beliau hanya 24% dalam kalangan orang Melayu.
Dapatan Ilham Centre itu ditolak PM kerana bermungkinan melibatkan sampel yang kurang menyeluruh.
"Saya tidak bersetuju.
"Ia satu analisis yang cacat, mungkin mereka (Ilham Centre) mengambil data di Kelantan dan membandingkan di Selangor.
"Tetapi di banyak lagi negeri, prestasi kita (Kerajaan Perpaduan) sangat baik. Saya sangat optimis," katanya dipetik FMT selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Qaryah Kampung Perlis, Pulau Pinang.
Terdahulu, Ilham Centre berkata PRN kali ini akan menjadi ujian lapangan untuk menentukan corak sokongan orang Melayu di Semenanjung susulan perubahan trend pengundi pada PRU15.
Katanya, PM mendapat 24% sokongan Melayu tetapi berbeza dengan sokongan orang Cina (88%) dan India (81%) serta lain-lain (75%).
Namun keseluruhan 42% responden berkata mereka berpuas hati dengan prestasi PM Anwar.
Kajian tersebut berlangsung pada 11 hingga 27 Julai itu menganalisis maklum balas 2,416 responden di enam negeri yang akan melaksanakan pilihan raya esok.
Bagaimanapun, dari segi populariti kajian mendapati Anwar, Kerajaan Perpaduan dan polisi Madani mendapat markah tinggi di negeri dikuasai Pakatan Harapan seperti Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
Comments