PM tidak campur tangan urusan mahkamah, reformasi institusi terbukti
- Suara Keadilan
- Jun 5
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan termasuk isu sama ada Perdana Menteri (PM) mempunyai kekebalan daripada tindakan undang-undang, merupakan indikator jelas institusi kehakiman di negara ini berfungsi secara bebas tanpa campur tangan politik.
Menurut Pengarah Strategi Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Bryan Ng Yih Miin, jika benar PM ingin mengelak daripada proses mahkamah, terdapat beberapa saluran yang secara teorinya boleh digunakan.
''Antaranya beliau boleh menggunakan pengaruh politik untuk membatalkan saman, melengahkan prosiding melalui peguam Kerajaan dan meminda undang-undang melalui Parlimen bagi melindungi kedudukannya.
''Namun, tiada satu pun daripada langkah tersebut diambil, sekali gus membuktikan bahawa reformasi institusi yang dijanjikan bukan sekadar retorik politik, tetapi sedang dilaksanakan secara nyata.
''PMX (Anwar) tidak pernah menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan atau mempengaruhi badan kehakiman,'' katanya ketika dihubungi Suara Keadilan, hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai Anwar yang kekal komited kepada prinsip kedaulatan undang-undang meskipun Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan, termasuk isu imuniti PM daripada tindakan undang-undang.
Hal itu membuktikan bahawa reformasi institusi yang dilaungkan oleh Kerajaan MADANI dilaksanakan kerana berbeza dengan pentadbiran kerajaan sebelum ini yang memastikan mahkamah tidak akan bertindak ke atas seorang perdana menteri (PM) atau menteri.
Mengulas lanjut, Bryan menyifatkan penolakan permohonan itu bukan satu kekalahan, sebaliknya perkara tersebut adalah kemenangan untuk prinsip kedaulatan undang-undang.
Keputusan tersebut katanya menggambarkan bahawa PM tidak kebal daripada tindakan undang-undang, malah Presiden KEADILAN itu juga tidak mencabar keputusan tersebut melalui retorik politik atau tekanan kepada badan kehakiman
''Beliau tidak mencari jalan untuk mengelak daripada keadilan, sebaliknya menggunakan saluran undang-undang yang sah sebagaimana setiap warganegara berhak melakukannya.
''Kedaulatan undang-undang bermaksud semua individu termasuk PM tertakluk kepada undang-undang tanpa kekebalan mutlak.
''Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan juga ada menyatakan semua orang adalah sama di sisi undang-undang. Justeru, cubaan Anwar untuk mendapatkan imuniti melalui hujahan bahawa tindakan beliau dibuat sebagai PM, telah dinilai berdasarkan merit undang-undang dan bukannya berdasarkan kedudukannya,'' ujar beliau yang juga Ahli Majlis Petaling Jaya.
Comments