PM tiba di Maldives, perkukuh hubungan dua hala lima dekad


Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Maldives malam tadi bagi memulakan lawatan rasmi selama dua hari, dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Maldives yang telah terjalin sejak 1968.
Lawatan rasmi itu dijangka memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan sedia ada serta meneroka peluang kerjasama baharu yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
Antara bidang yang berpotensi diperkasakan termasuk perdagangan dan pelaburan, pelancongan, pendidikan, kesihatan, pembangunan modal insan serta kerjasama dalam hal ehwal Islam.
Hubungan Malaysia-Maldives yang memasuki tahun ke-58 turut disokong oleh hubungan rakyat dengan rakyat serta kepentingan bersama dalam menangani isu serantau dan antarabangsa.
Kunjungan tersebut juga mencerminkan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh hubungan dengan negara-negara sahabat melalui pendekatan Diplomasi MADANI, selain membuka ruang kepada kerjasama ekonomi dan pembangunan yang lebih erat.
Lawatan dua hari itu dijangka turut menjadi platform bagi kedua-dua negara bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa serta mengenal pasti bidang kerjasama yang boleh dipertingkatkan pada masa akan datang.
Kehadiran PMX di Maldives selepas lawatan ke India turut meneruskan agenda Diplomasi MADANI Malaysia di rantau Asia Selatan.




Comments