PM tiba di Doha hadiri sidang tergempar pasca serangan udara Israel
- Suara Keadilan

- Sep 15
- 1 min read

Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini tiba di Doha, Qatar bagi menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam yang membincangkan isu keselamatan rantau Timur Tengah berikutan serangan rejim Israel ke atas Qatar.
Anwar dalam kenyataannya berkata, beliau akan menyampaikan Kenyataan Negara bagi menzahirkan solidariti Malaysia terhadap Qatar yang menjadi mangsa serangan biadab tersebut.
"Serangan terhadap Qatar ini jelas membuktikan bahawa kezaliman Zionis tidak terbatas. Ia bukan sahaja menindas rakyat Palestin sejak puluhan tahun, malah kini mengancam kedaulatan negara-negara Arab dan Islam seluruhnya. Jika Qatar boleh diserang, maka tiada negara yang benar-benar selamat daripada ancaman mereka," katanya.
Malaysia, tegas PM, mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel itu dan berdiri teguh bersama Qatar, Palestin serta seluruh dunia yang cintakan keamanan dan keadilan.
"Inilah saatnya untuk dunia Arab-Islam, dan masyarakat antarabangsa bangkit bersatu mempertahankan maruah, menghentikan keganasan, dan menjamin keselamatan sejagat," ujarnya.
Beliau turut menegaskan pendirian Malaysia yang tidak akan berganjak dalam isu kemerdekaan Palestin.
"Saya juga akan tegaskan sekali lagi, Malaysia tidak akan tunduk, tidak akan goyah, dan berdiam diri selagi penindasan ini berterusan. Malaysia tetap berdiri bersama rakyat Palestin yang dizalimi," tegas Perdana Menteri.
Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di Doha yang menghimpunkan pemimpin dunia Arab dan Islam itu dijangka merumuskan tindakan bersama menangani ancaman serangan udara Israel terhadap negara negara Arab, khususnya yang memberi perlindungan kepada pejuang Palestin seperti Hamas, Jihad Islam dan sebagainya.









Comments