top of page

Henti polemik dalaman, fokus persiapan PRU 16 - Anwar

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Apr 18
  • 2 min read
DS Anwar memberi ucapan bersemangat kepada KEADILAN Kelantan di  Hotel Grand Riverview
DS Anwar memberi ucapan bersemangat kepada KEADILAN Kelantan di  Hotel Grand Riverview

Pimpinan parti KEADILAN di semua peringkat diingatkan supaya menghentikan pertelingkahan isu remeh temeh dan memberi tumpuan kepada kerja untuk rakyat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 16.


Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika merasmikan Mini Konvensyen KEADILAN Kelantan di Hotel Grand Riverview, Kota Bharu.


Beliau menegaskan keutamaan parti kini adalah memperkukuh jentera serta meningkatkan prestasi organisasi, bukan melayan konflik dalaman yang tidak membawa manfaat.


"Kita kena bersiap dari sekarang untuk berdepan PRU. Ikhtiar dan kerja mesti seiring, bukan bertelingkah hal remeh-temeh yang tidak menyelesaikan masalah," katanya.


Dalam nada tegas, Perdana Menteri turut mengingatkan ketua cabang yang tidak aktif supaya berundur sementara bagi memberi ruang kepada kepimpinan yang lebih komited.


"Mesyuarat mesyuarat sebulan sekali pun malas, jadi ketua-ketua cabang kalau malas, lembab sila ambil cuti sekarang, tak payah jadi ketua cabang. Nak pimpin buat cara pimpin.


"Rakyat mahu pemimpin yang mahu membela nasib mereka dan mengangkat martabat negara," katanya.


Dalam pada itu Anwar memberi kuasa kepada Setiausaha Agung KEADILAN untuk menilai prestasi pimpinan di peringkat cabang, termasuk tahap keaktifan dan sumbangan kepada parti.


Menurut beliau, terdapat juga segelintir pimpinan yang hanya menunjukkan komitmen tinggi ketika pemilihan parti, namun gagal melaksanakan tanggungjawab selepas memenangi jawatan.


"Ini masa berkempen merebut jawatan sanggup tidur sehingga jam 3 pagi, namun selepas menang, WhatsApp pun tidak balas, orang telefon pun tidak berangkat dan mesyuarat pun malas.


"Justeru kita menyeru seluruh jentera parti supaya merapatkan barisan dan bersiap sedia dari sekarang bagi mendepani cabaran pilihan raya akan datang," katanya.


Datuk Seri Anwar juga memaklumkan peruntukan parti akan disalurkan berdasarkan prestasi cabang, khususnya yang aktif dan berjaya menambah keahlian.


"Cabang yang tiada pertambahan ahli dan tiada kegiatan, maka kita tidak akan beri peruntukan," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page