top of page

PM tiada alasan munasabah singkir speaker - Anwar Ibrahim

Updated: Jul 14, 2020


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap usul yang dibawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyingkirkan Yang di-Pertua Dewan Rakyat adalah tidak munasabah.


Dalam perbahasannya, Anwar berpandangan usul tersebut tidak boleh dikemukakan melainkan berlaku kekosongan.


Malah, beliau tidak boleh menerima alasan pertukaran speaker dibuat hanya kerana ada pencalonan baharu.


"Ini kali pertama speaker cemerlang disingkirkan di Dewan Rakyat. Adakah penyingkiran beliau dibuat kerana tiada kelayakan, salah guna kuasa atau perlanggaran undang-undang?" soalnya di Parlimen.


Anwar juga menerangkan bagaimana speaker Dewan Rakyat tidak pernah ditukar sejak kewujudan Parlimen dan perkara itu hanya berlaku apabila penjawat jawatan itu meninggal dunia.


"Apabila speaker meninggal dunia seperti Nik Ahmad Kamil Nik Mahmood ketika pentadbiran Tun Hussein Onn dan Syed Nasir Ismail ketika pentadbiran Tun Mahathir, sidang ditangguhkan buat sementara waktu.


"Namun kali ini tidak ada satu pun perkara yang berkaitan itu berlaku," katanya.


Anwar juga menyenaraikan pencapaian Ariff selaku speaker yang dianggap telah menjalankan tugas dengan cemerlang.


"Beliau menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas dan memberikan fokus sepenuhnya kepada soal tadbir urus (governance).


"Beliau juga memastikan penyertaan dari pembangkang serta penyertaan dari semua parti.


"Kita pun ada juga tidak bersetuju dengan speaker, tetapi beliau telah menjalankan tugas dengan tekun dan harus diangkat martabatnya. Kita berikan pengiktirafan yang baik


"Jelas beliau telah melakukan banyak perubahan," katanya.


Pada masa sama, Anwar menempelak Muhyiddin yang sekadar berdiam diri sepanjang sesi perbahasan mengenai isu penyingkiran speaker berlangsung, tanpa memberikan sebarang penjelasan.


"Perdana Menteri tidak ada penjelasan, kalau bagi penjelasan kita tidak ada masalah, kita juga mahu mengambil keputusan yang profesional.


"Tindakan ini mencemarkan dewan yang mulia," katanya.


Anwar terus-terusan mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai alasan untuk menyingkirkan speaker.


"Kerana ada majoriti, mereka menggunakan kuasa untuk singkir speaker atas alasan ada calon baharu, alasan ini sangat tidak munasabah.


"Mengapa seorang speaker mahu digugurkan tanpa sebarang alasan, apa 'conscience' kita sebagai ahli parlimen.


"Di mana salah dia sehingga diaibkan sebegitu rupa. Apa yang dianggap salah sehingga tidak diberikan peluang untuk meneruskan tugas.


"Jika speaker kekal sekalipun, ia tidak akan menjejaskan kedudukan PN. Sebab itu, tidak munasabah untuk memecat speaker yang cemerlang," katanya.


Dalam pengakhiran hujahnya, Anwar mendesak Muhyiddin supaya memberikan alasan yang munasabah.


"Mengapa seorang yang penuh kewibawaan dan mempunyai rekod yang cemerlang yang perlu disingkirkan tanpa sebarang alasan.


"Adakah kamu anggap ahli parlimen ini pak turut sampai tak boleh fikir. Usul speaker adalah usul penting tapi tak payah bagi alasan.


"Saya juga ingin bertanya kepada mantan Perdana Menteri (Mahathir), apakah mungkin seorang Perdana Menteri membuat usul penting tanpa alasan dan gugurkan dia.


"Kerana itu, ia adalah pertimbangan politik semata-mata. Saya meminta supaya Perdana Menteri beri penjelasan kenapa speaker mesti digugurkan," katanya.


Bagaimanapun, Muhyiddin langsung tidak memberikan sebarang penjelasan sehingga perbahasan tersebut berakhir.


Sebanyak 111 undi bersetuju dengan usul tersebut manakala 109 undi menolak serta-merta.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page