top of page

PM terima perletakan jawatan Supol, SPRM bebas laksana siasatan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 10 minutes ago
  • 1 min read
ree

Perdana Menteri hari ini mengesahkan penerimaan perletakan jawatan Setiausaha Politik Kanan (Supol), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berikutan tular pengumuman perletakan jawatan tersebut semalam.


Dalam kenyataan media, PM merakamkan penghargaan atas khidmat dan sumbangan Shamsul Iskandar sepanjang tempoh perkhidmatan.


"Saya menerima perletakan jawatan Setiausaha Politik Kanan, saudara Shamsul Iskandar Mohd Akin dan mengucapkan terima kasih atas khidmat beliau," katanya.


Mengulas dakwaan yang timbul di belakang perletakan jawatan itu, Perdana Menteri menegaskan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberi ruang sepenuhnya untuk menjalankan siasatan mengikut prosedur undang-undang.


"Berhubung tuduhan yang timbul, saya menegaskan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas untuk menjalankan siasatan segera, tanpa sebarang campur tangan luar," tegasnya.


Beliau turut menekankan bahawa Kerajaan MADANI kekal komited terhadap prinsip kebertanggungjawaban dan integriti dalam pentadbiran.


"Kerajaan MADANI kekal teguh pada prinsip ketelusan dan integriti, dan memberi ruang kepada proses siasatan mengikut lunas undang-undang," katanya lagi.


Perletakan jawatan Shamsul dibuat semalam dengan alasan serangan bertali arus ke atas Kerajaan Madani yang mengaitkan diri beliau.


"Saya difahamkan ada percubaan untuk menyerang saya dengan perkara yang boleh merosakkan imej kerajaan Madani.


"Justeru saya mengambil keputusan untuk mempertahankan diri saya daripada serangan ini.


"Saya juga pagi tadi telah menyerahkan surat peletakan jawatan saya kepada YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim," kata Shamsul semalam di aplikasi X.


Selain sebagai Setiausaha Politik Kanan, Shamsul turut memegang jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Melaka dan Pengerusi Pakatan Harapan Perak.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page