PM terima anugerah tertinggi 'Order of Independence' daripada Kosovo
- Suara Keadilan
- May 2
- 2 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima penghormatan tertinggi Kosovo iaitu 'Order of Independence', satu lagi pengiktirafan antarabangsa diberikan kepada Malaysia.
Anugerah berprestij itu merupakan penghormatan awam tertinggi dikurniakan Kosovo kepada individu yang memainkan peranan penting dalam menyokong kemerdekaan negara berkenaan.
Anugerah itu disampaikan Presiden Kosovo, Dr Vjosa Osmani Sadriu kepada Perdana Menteri dalam satu majlis di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya hari ini.
Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan berkata penganugerahan itu mengiktiraf sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia terhadap kedaulatan Kosovo serta pembangunan pascakemerdekaannya, selain komitmen teguh Perdana Menteri dalam memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
"Terima kasih atas Anugerah Kemerdekaan ini, sebagai pengiktirafan terhadap rakyat Malaysia yang menunjukkan kasih sayang dan sokongan berterusan terhadap perjuangan dan kemerdekaan Kosovo," kata Anwar dalam sidang media bersama Presiden Vjosa Osmani.
Dalam pada itu Presiden Vsoja Osmani juga akan menganugerahkan Order of Independence secara 'anumerta' kepada bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Ia sebagai penghargaan atas kepemimpinan Allahyarham semasa tempoh penting dalam sejarah Kosovo.
Di bawah kepemimpinan Abdullah, Malaysia menjadi antara negara terawal yang mengiktiraf kemerdekaan Kosovo pada 30 Oktober 2008.
Antara penerima Darjah Kemerdekaan sebelum ini termasuk Sheikh Mohammed Bin Zayed Al Nahyan, Presiden Emiriah Arab Bersatu (2014); George W. Bush, bekas Presiden Amerika Syarikat (2018); Micheline Calmy-Rey, bekas Presiden Switzerland (2022); dan mendiang Anne Marie Lizin, bekas Presiden Senat Belgium (2024).
Kosovo, wilayah yang terletak di Balkan dahulunya merupakan sebahagian daripada Yugoslavia (kemudian Serbia).
Pada tahun 1990-an, ketika Yugoslavia mula berpecah, ketegangan antara etnik Albania Kosovo dan kerajaan Serbia semakin memuncak.
Kosovo diberi autonomi di bawah Yugoslavia, tetapi hak ini ditarik balik oleh Presiden Serbia Slobodan Milošević sekitar 1989.
Keadaan menjadi lebih tegang apabila Tentera Pembebasan Kosovo (KLA) mula menentang pemerintahan Serbia sehingga akhirnya mencetuskan konflik berdarah yang dikenali sebagai Perang Kosovo (1998–1999).
Disebabkan pelanggaran hak asasi manusia yang teruk, termasuk pembersihan etnik terhadap orang Albania, NATO melancarkan serangan udara ke atas Serbia pada 1999 tanpa mandat PBB. Selepas 78 hari serangan, Serbia menarik tenteranya dari Kosovo.
Pada 17 Februari 2008, Kosovo secara sebelah pihak mengisytiharkan kemerdekaan daripada Serbia. Lebih 100 negara termasuk Malaysia, telah mengiktirafnya.
コメント