Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masanya bertemu dengan ahli keluarga mendiang Teoh Beng Hock termasuk ibu bapa mendiang di pejabatnya di Putrajaya.
Perdana Menteri berkata beliau berbicara panjang bersama ibu bapa Beng Hock, Teng Shuw Hoi dan Teoh Leong Hwee serta anak mendiang Teoh Er Jia dan adik mendiang, Teoh Lee Lan.
"Saya mendengar segala keluhan dan beberapa permintaan daripada pihak keluarga. Saya telah lama mengikuti rapat kes ini dan memahami kesedihan serta penderitaan keluarga yang telah sekian lama memperjuangkan keadilan buat mendiang.
"Saya nyatakan pendirian kerajaan yang bersetuju untuk pihak polis membuka semula kertas siasatan terkait kematian mendiang Beng Hock," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Anwar turut memberikan jaminan siasatan kali ini akan dilaksanakan secara telus dan adil tanpa campur tangan mana-mana pihak, khususnya mengambil kira pandangan Mahkamah Rayuan berhubung kes ini pada 5 September 2014.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 Julai lalu menetapkan 29 Oktober depan bagi keputusan permohonan semakan kehakiman yang difailkan ibu bapa mendiang Beng Hock.
Ibu bapa mendiang sedang cuba mendapatkan perintah mahkamah supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) melengkapkan siasatan berhubung kematian anak mereka, 14 tahun lepas.
Pada 4 Januari 2022, ibu bapa mendiang iaitu Teoh Leong Hwee, 75, dan isterinya, Teng Shuw Hoi, 70, memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan Ketua Polis Negara, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, PDRM dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga keempat.
Mereka kemudian berjaya memperoleh kebenaran mahkamah untuk memulakan semakan kehakiman pada Jun 2022.
Pasangan itu memohon deklarasi bahawa kegagalan responden pertama, kedua dan ketiga untuk melengkapkan siasatan berhubung kematian anak mereka dalam jangka masa munasabah telah melanggar Seksyen 20(3) Akta Polis 1967.
Beng Hock ditemukan mati dalam keadaan tertiarap pada 16 Julai 2009 di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan sama.
Beliau yang merupakan pegawai kepada salah seorang Exco kerajaan negeri Selangor dipanggil memberikan keterangan sebagai saksi bagi siasatan kes dakwaan rasuah membabitkan tujuh wakil rakyat di negeri itu membabitkan dana kerajaan negeri.
Pada 5 Januari 2011, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Beng Hock pada 2009 bukan disebabkan membunuh diri atau dibunuh serta mendapati tiada pihak ketiga terlibat dalam kematiannya.
Pada 21 Julai 2011, Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kematian Beng Hock memutuskan bahawa kematiannya akibat membunuh diri.
Pada 5 September 2014, Mahkamah Rayuan menukar keputusan terbuka dalam kes kematian Beng Hock dan memutuskan bahawa kematiannya akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali.
Kommentare