top of page

PM tak buat apa apa, negara rosak: Pembangkang tak tengok media sosialkah?

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
21 hours ago
2 min read
DS Anwar berceramah di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Hang Tuah Jaya, malam tadi
DS Anwar berceramah di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Hang Tuah Jaya, malam tadi

Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak dakwaan pembangkang kononnya beliau gagal menjalankan tugas dan Kerajaan MADANI tidak melakukan apa-apa sepanjang tempoh empat tahun pentadbiran.


Berucap pada ceramah di Melaka malam tadi, Anwar berkata, dakwaan kononnya kerajaan tidak melakukan apa-apa seolah-olah menggambarkan pihak berkenaan tidak melihat usaha yang sedang dilaksanakan Kerajaan MADANI terhadap rakyat di negara ini.


Beliau secara sinis mempersoalkan sama ada pihak yang membuat tuduhan itu merujuk kepada negara lain kerana anggota Jemaah Menteri sedang bekerja melaksanakan tanggungjawab masing-masing seperti diamanahkan.


Katanya, beliau turut mendengar ceramah kempen PRN Melaka yang mendakwa negara sudah rosak, hancur dan rakyat hidup dalam kemiskinan, sehingga menimbulkan persoalan sama ada kenyataan itu merujuk kepada Malaysia.


"Itu haji (Pas) cakap negeri mana? Ada pula yang kata kerajaan tak buat apa-apa selama empat tahun, PMX gagal semuanya, tak buat kerja, jahanamkan negara ini. Saya tertanya-tanya, dia ini cakap tentang Afghanistan ke?


"Ini kalau cakap di Malaysia, anak-anak muda tak pergi sekolah ke? Tak pernah ke universiti ke, tak baca buku? Tak tengok sosial media.


"Negara kita kalau tanya saya (kita ada antaranya) Anthony Loke, Mohamad Sabu, Steven Sim, Ramanan dan Fadhlina.


"Kita (semua) kerja saudara-saudara, tanyalah mereka adakah puas hati? Apakah saya rasa puas hati? Tidak. Apakah ada masalah yang belum selesai? Ya (masih ada).


"Apakah orang Melayu semua senang? Tidak, orang Cina, India masih ramai yang ada masalah. Kita lakukan dengan sebaiknya, baiki masalah. Kita bukan takabur mengatakan ‘it's a perfect country, no’, tetapi bicaralah dengan ikhlas dan jujur," katanya.


Anwar berkata demikian ketika menyampaikan ceramah pada Grand Finale: Jelajah Harapan, Melaka Rumah Kita yang diadakan di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Hang Tuah Jaya, malam tadi.


Mengulas mengenai keadaan politik semasa pula, beliau mengingatkan rakyat agar berwaspada terhadap manipulasi sentimen kaum dan agama sehingga menyebabkan masyarakat hilang pertimbangan serta gagal menilai seseorang berdasarkan kelayakan dan prinsip.


Beliau menyifatkan keadaan itu sebagai ‘zaman edan’, istilah yang membawa maksud zaman yang sudah terbalik atau gila, apabila golongan yang baik dikecam dan dituduh sebagai penghasut, pemecah perpaduan serta alat kepada kaum lain, sedangkan mereka yang melakukan rasuah dan penindasan pula dipuja.


Dalam ceramah sama, Anwar yang juga Presiden KEADILAN turut mengingatkan rakyat supaya menilai usaha kerajaan secara adil, termasuk pelaksanaan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang melibatkan peruntukan RM16 bilion serta kenaikan gaji penjawat awam dan anggota polis pada tahun ini.


Beliau berkata, kerajaan melaksanakan perkara yang mampu dilakukan, manakala usaha menyelesaikan masalah lain memerlukan masa dan akan terus diusahakan sebaik mungkin oleh pihaknya.


Dalam pada itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun turut mempersoalkan seruan sesetengah pihak agar orang Melayu bersatu.


"Bukan masalah Cina atau India... cakap Melayu kena bersatu, inilah masa Melayu bersatu. (Tapi) Bersatu untuk apa? Untuk (sakau) Tabung Haji? Bersatu... bersatu... bersatu... untuk apa? (Sakau) Felda?," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page