Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersembah taklimat kepada Sultan Johor berhubung lawatan kerja beliau ke Singapura pada 30 Januari lalu.
Sesi sembah taklimat kepada Sultan Ibrahim Iskandar itu berlangsung di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya.
"Menjunjung kasih atas kesudian DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkunjung ke Seri Perdana hari ini (semalam).
"Saya turut berkesempatan maklumkan kepada Baginda Tuanku berkenaan lawatan kerja saya bersama delegasi ke Singapura baru-baru ini," maklum Anwar di laman Facebooknya.
Lawatan ringkas Perdana Menteri ke Singapura tempoh hari menyaksikan tiga perjanjian dimeterai antara Malaysia dan Singapura meliputi aspek keselamatan siber, digital dan ekonomi hijau ditandatangani.
Dua rangka kerja melibatkan kerjasama dalam ekonomi digital serta ekonomi hijau itu ditandatangani Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan rakan sejawatnya, Gan Kim Yong bagi pihak Singapura.
Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil pula mewakili Malaysia untuk menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi mempromosikan kerjasama dari aspek Data, Keselamatan Siber dan Ekonomi Digital.
Antara tumpuan lain, lawatan berkenaan turut memfokuskan kepada persetujuan antara kedua negara untuk mengadakan rundingan lebih terperinci terhadap langkah republik itu menambak kawasan sekitar Pulau Batu Puteh dalam masa terdekat ini.
Perkara tersebut telah dibangkitkan dalam pertemuan bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.
Comments