PM selamat tiba di Filipina, hadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-48
- Helmi Mohd Foad

- 2 hours ago
- 2 min read

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Cebu bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tengah hari tadi tadi bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 dan Sidang-Sidang Berkaitan yang berlangsung dari 7 hingga 8 Mei di Filipina.
Ketibaan Anwar yang mengetuai delegasi Malaysia itu menandakan komitmen berterusan negara dalam memperkukuh kerjasama serantau ASEAN ketika rantau Asia Tenggara berdepan pelbagai cabaran geopolitik dan ekonomi global yang semakin kompleks.
Perdana Menteri menegaskan ASEAN perlu terus memperkukuh semangat kebersamaan dan solidariti sebagai sebuah keluarga serantau yang erat, stabil dan bertanggungjawab.
"Dalam mendepani cabaran semasa, ASEAN perlu terus memperkukuh semangat kebersamaan dan solidariti sebagai sebuah keluarga serantau yang erat, stabil dan bertanggungjawab demi menjamin keamanan, kemakmuran serta kesejahteraan bersama.
"Malaysia kekal komited memperjuangkan diplomasi, memperkukuh kerjasama ekonomi dan memacu pembangunan mampan selari dengan semangat ASEAN yang inklusif serta berpaksikan rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Duta Besar Malaysia ke Filipina, Datuk Abdul Malik Melvin Castelino Anthony berkata, sidang kali ini dijangka memberi tumpuan kepada impak konflik di Asia Barat terhadap rantau Asia Tenggara termasuk aspek keselamatan tenaga dan jaminan bekalan makanan.
"Perbincangan juga akan tertumpu kepada respons ASEAN dalam memastikan keselamatan rakyat negara-negara anggota di kawasan terjejas selain memperkukuh daya tahan rantau ini," katanya kepada media Malaysia, lapor Bernama.
Menurut beliau, penyertaan Malaysia dalam sidang berkenaan mencerminkan iltizam negara untuk terus memperkukuh kepusatan ASEAN, perpaduan dan kestabilan serantau dalam suasana global yang mencabar.
Selain menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48, Perdana Menteri turut dijadual menyertai Sidang Kemuncak Khas Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina East ASEAN Growth Area (BIMP-EAGA) yang memberi fokus kepada pembangunan subrantau.
Pada Jumaat, beliau dijangka menghadiri sesi utama Sidang Kemuncak ASEAN serta mengadakan beberapa mesyuarat dua hala bersama pemimpin negara anggota ASEAN.
Turut mengiringi Perdana Menteri ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah.
Terdahulu Wisma Putra dalam kenyataan berkata Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 dan mesyuarat berkaitan ini akan menjadi platform bagi Malaysia berkongsi serta bertukar pandangan mengenai pelbagai isu berkaitan pembinaan Komuniti ASEAN dan hala tuju masa depan rantau ini.
Katanya perbincangan juga akan tertumpu kepada impak krisis di Timur Tengah terhadap rantau Asia Tenggara serta respons ASEAN dalam memastikan keselamatan tenaga dan makanan serantau di samping menjamin keselamatan rakyat negara-negara ASEAN di kawasan terjejas.
Penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 dan Mesyuarat Berkaitan mencerminkan komitmen dan iltizam negara untuk memperkukuh Kepusatan ASEAN, perpaduan serta daya tahan rantau ini dalam menghadapi persekitaran global yang semakin kompleks.
Semasa berada di Cebu, Perdana Menteri juga dijangka mengadakan beberapa pertemuan dua hala bersama rakan pemimpin ASEAN.
Sidang kemuncak ini akan didahului dengan beberapa mesyuarat peringkat menteri termasuk Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN, Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN ke-31, Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN ke-38 serta Mesyuarat Bersama Menteri Luar dan Menteri Ekonomi ASEAN.
Filipina mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN daripada Malaysia bermula 1 Januari lalu dengan tema “Navigating Our Future, Together” yang memfokuskan kepada keamanan dan keselamatan, kemakmuran ekonomi serta pemerkasaan rakyat di rantau ini.




Comments