BNM kekalkan OPR 2.75%, kos pinjaman tidak meningkat, inflasi rendah
- Redzuan Shamsudin

- 4 hours ago
- 2 min read

Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus sejajar dengan usaha memastikan kestabilan harga dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Menurut kenyataan BNM, keputusan itu dibuat dalam keadaan ekonomi global yang kekal berdaya tahan pada suku pertama 2026, didorong oleh permintaan domestik yang stabil serta perkembangan teknologi global.
"Pada mesyuarat hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman pada 2.75%
"Walau bagaimanapun, peningkatan harga tenaga dan komoditi serta gangguan rantaian bekalan akibat konflik di Timur Tengah mula mempengaruhi momentum pertumbuhan global," kata kenyataan itu.
BNM memaklumkan risiko pertumbuhan global menjadi perlahan masih tinggi, dipacu ketidakpastian berkaitan konflik, keadaan kewangan global yang lebih ketat serta kebimbangan terhadap pasaran kewangan.
Bagi Malaysia, bank pusat itu menyatakan momentum pertumbuhan ekonomi kekal berterusan pada suku pertama, disokong oleh permintaan dalam negeri dan prestasi eksport yang kukuh.
"Asas-asas Malaysia yang kukuh akan terus menyokong daya tahan ekonomi negara. Guna tenaga, pertumbuhan upah serta langkah-langkah dasar akan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah," katanya.
Tambah BNM, aktiviti pelaburan dijangka terus berkembang hasil pelaksanaan projek berbilang tahun sektor awam dan swasta, selain pelaksanaan pelan induk nasional.
Dalam sektor luaran, eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) dijangka kekal kukuh, manakala sektor pelancongan terus menyumbang kepada pertumbuhan meskipun pada kadar lebih sederhana.
Sementara itu, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing mencatat purata 1.6 peratus dan 2.1 peratus pada suku pertama 2026.
Menurut BNM, harga komoditi global yang meningkat akibat konflik Timur Tengah dijangka memberi sedikit tekanan kepada inflasi, namun kesannya dijangka kekal terkawal.
"Hal ini mencerminkan langkah-langkah dasar dalam negeri dan keadaan permintaan yang stabil, yang akan mengurangkan pindahan tekanan kos luaran kepada harga dalam negeri," kata kenyataan itu.
BNM menegaskan bahawa pada paras OPR semasa, pendirian dasar monetari adalah wajar dan konsisten dengan prospek kestabilan harga serta pertumbuhan ekonomi yang mampan.
"MPC akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai imbangan risiko terhadap prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri," kata kenyataan itu lagi.




Comments