top of page

Jelajah Wira MADANI hargai pasukan keselamatan, sasar 10 terbaik Indeks Keamanan Global

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • May 7
  • 2 min read

Program Jelajah Wira MADANI di Briged Tenggara, Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kuantan, Pahang hari ini menjadi platform kerajaan menzahirkan penghargaan kepada pasukan keselamatan yang memainkan peranan penting dalam menjamin keamanan negara.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar) berkata, inisiatif tersebut digerakkan atas ilham Perdana Menteri bagi menghargai pengorbanan pasukan penguat kuasa di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) termasuk PGA, RELA dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).


"Perdana Menteri, walaupun beliau tak sempat nak sampai semua, tetapi beliau nak kirimkan mesej bahawa hatinya sangat dekat dengan pasukan keselamatan, terutama keamanan dan ketenteraman yang kita nikmati sekarang bukan berlaku secara tiba-tiba," kata Saifuddin dalam ucapan di program berkenaan, pagi tadi.


Menurutnya, tahap keamanan Malaysia yang tinggi diiktiraf melalui Global Peace Index telah meletakkan negara pada kedudukan ke-13 daripada 165 negara dunia, selain antara terbaik di rantau Asia Pasifik.


"Kalau Asia, kita nombor dua di belakang Singapura.


"Apa pentingnya indeks ini? Pelabur asing, bila dia nak buka apa sahaja perniagaan mereka, yang pertama dia nak tengok negara ini aman ataupun tidak. Barulah dia berani letak duit dia.


"Nak buka kilang, pusat data, apa sahaja. Mana mungkin dia nak melabur kalau negara tak menjanjikan keamanan dan ketenteraman," katanya.


Beliau menegaskan bahawa keamanan negara bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil dasar keselamatan yang jelas serta komitmen berterusan pasukan keselamatan.


"Ia wujud hasil daripada Dasar Keselamatan Negara yang autoritinya ada pada Majlis Keselamatan Negara. Pertahanan di bawah Kementerian Pertahanan. Keamanan dan ketenteraman awam adalah Kementerian Dalam Negeri."


Mengulas cabaran semasa, beliau berkata jenayah kini semakin kompleks melibatkan pemerdagangan manusia, penyeludupan, dadah, senjata api rentas sempadan serta jenayah siber yang memerlukan pendekatan baharu dalam pengurusan keselamatan.


Sehubungan itu, beliau berkata KDN menetapkan sasaran untuk meningkatkan kedudukan Malaysia dalam indeks berkenaan kepada kelompok 10 negara paling aman dunia menjelang Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).


"Kita sasarkan nombor sembilan. Daripada 13 kepada nombor sembilan dalam masa lima tahun lagi," ujarnya.


Dalam pada itu, beliau turut memuji prestasi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) di bawah Polis Diraja Malaysia yang mencatatkan nilai rampasan melebihi RM7 bilion.


Briged Tenggara sahaja, katanya mencatat rampasan RM853 juta yang menunjukkan keberkesanan operasi penguatkuasaan yang dijalankan.


Tambah beliau, kerjasama antara KDNKA dengan 42 agensi termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) turut menyumbang kepada peningkatan hasil negara.


"Pertama kali hasil daripada maklumat yang KDNKA buat, dan serah kepada kita, Lembaga Hasil pergi kepada syarikat-syarikat berkenaan. Kutipan hasil tahun lepas oleh Lembaga Hasil berdasarkan maklumat kita ialah tambahan RM500 juta," katanya.


Justeru, Saifuddin merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan keselamatan atas komitmen dan sumbangan mereka.


"Penghargaan ini datang dari hati saya kepada seluruh pasukan yang bertungkus-lumus memastikan negara kekal aman dan sejahtera," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page