PM santuni tiga ulama dunia, mohon nasihat, doa
- Helmi Mohd Foad

- 1 hour ago
- 1 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa menyantuni tiga tokoh ulama terkemuka dunia Islam yang sedang berkunjung ke Malaysia.
Perdana Menteri berkata beliau berkesempatan singgah ke Kompleks Nasyrul Quran di sini di tengah kesibukan jadual hariannya bagi bertemu dan bertanya khabar ketiga-tiga tokoh berkenaan.
Mereka ialah tokoh ulama hadis Mesir, Al-Allamah Al-Muhaddith Syeikh Dr Mustafa al-Nadwi Al-Hasani; Syeikh Qurra’ Dunia, Al-Allamah Al-Muqri’ Syeikh Dr Ahmad Isa Al-Ma’sarawy; serta Penjaga Utama bagi Wakaf Masjid dan Maqam Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani, Maulana Al-Sayyid Afeefuddin Al-Jailani.
"Kesempatan ini saya gunakan untuk bertanya khabar, memohon nasihat dan doa serta merakamkan penghargaan atas kesudian mereka hadir berkongsi ilmu dan hikmah di samping menyemarakkan syiar Islam di tanah air," katanya menerusi hantaran media sosial hari ini.
Perdana Menteri turut menzahirkan harapan agar kunjungan tokoh-tokoh ulama berkenaan dapat memberi manfaat kepada umat Islam di negara ini, khususnya dalam memperkasa ilmu dan penghayatan agama.
Menurut Anwar, kehadiran mereka juga diharapkan dapat menyumbang kepada usaha membina masyarakat yang berakhlak dan berilmu serta terus hidup dalam suasana harmoni.
"Semoga kunjungan para ulama ini menjadi asbab bertambahnya ilmu, keberkatan dan kecintaan kepada agama serta memperkukuh usaha kita membina masyarakat yang berakhlak, berilmu dan hidup dalam keharmonian, Insya-Allah," katanya.




Comments