PM santuni diaspora Malaysia di Turkmenistan
- Helmi Mohd Foad
- 6 hours ago
- 2 min read

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menyantuni rakyat Malaysia yang menetap di Ashgabat sempena lawatan rasmi dua hari beliau ke Turkmenistan.
Beliau berkata komuniti diaspora Malaysia di luar negara memainkan peranan penting sebagai "duta tidak rasmi" negara dalam membina reputasi, memperluas jaringan dan mengangkat imej Malaysia di persada antarabangsa.
"Alhamdulillah dapat raikan diaspora Malaysia di Ashgabat. Meski jauh dari tanah air tercinta, semangat dan kehangatan keakraban mereka terasa seperti kita berkumpul di Kuala Lumpur.
"Mereka ini adalah duta tidak rasmi negara yang punyai nurani untuk mencipta reputasi dan imej negara, memperluas jaringan dan melonjak maruah negara ke hadapan," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anwar turut menegaskan komitmen Kerajaan MADANI untuk terus merapatkan hubungan dengan warga Malaysia di luar negara dengan memastikan mereka sentiasa terhubung dengan tanah air serta dihargai sebagai sebahagian daripada pembangunan negara.
Menurut beliau, lawatan ke Ashgabat bukan sekadar memberi tumpuan kepada perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi, malah bertujuan memperluas persahabatan antara kedua-dua negara, memperkukuh persefahaman serta membuka ruang kerjasama baharu yang memberi manfaat bersama.
Lawatan rasmi itu diadakan atas jemputan Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedov sebagai membalas lawatan rasmi beliau ke Malaysia pada Disember 2024.
Dalam lawatan tersebut, Anwar diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir serta pegawai kanan kerajaan.
Menurut kenyataan Wisma Putra, kedua-dua pemimpin dijadual mengadakan mesyuarat dua hala bagi membincangkan kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, minyak dan gas, tenaga, pertanian, pelancongan, pendidikan, pertukaran rakyat, digital serta sains dan teknologi.
Kedua-dua negara juga dijangka menandatangani Kenyataan Bersama dan menyaksikan pertukaran beberapa dokumen penting termasuk Perjanjian Perkhidmatan Udara, memorandum persefahaman dalam bidang diplomasi, pengangkutan, sains serta beberapa kerjasama berkaitan industri minyak dan gas.
Lawatan itu turut bersempena ulang tahun ke-30 operasi PETRONAS di Turkmenistan.
Sejak memulakan operasi pada 11 Mei 1996, jumlah pelaburan PETRONAS di negara Asia Tengah itu mencecah RM52.73 bilion.
Pada 2025, Turkmenistan merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Tengah dengan jumlah perdagangan dua hala bernilai RM75.8 juta.
Eksport Malaysia ke negara itu meningkat sembilan peratus kepada RM75.5 juta berbanding tahun sebelumnya.
