Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merasmikan segmen maritim Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA'23) di Resort World Langkawi semalam sempat bertemu menteri kanan dari Indoensia
PM sebagai tuan rumah dikunjungi sahabatnya, Menteri Pertahanan Indonesia, Bapak Prabowo Subianto dan mengadakan sesi bual santai.
"Meski jadual yang padat pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi, saya sempat ketemu Menteri Pertahanan Indonesia Bapak Prabowo Subianto dalam satu sesi ngobrol santai.
"Kami meluangkan masa kira-kira sejam membincangkan isu berkepentingan bersama merangkumi hubungan dua hala dan serantau," katanya.
Pertemuan itu turut diiringi Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan delegasi Indonesia.
Sebelum itu, Anwar yang tiba sekitar jam 4 petang menyaksikan persembahan khas membabitkan khas pasukan elit dan aset pertahanan maritim negara milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Perikanan bersempena perasmian itu.
Persembahan dimulakan dengan aksi penyusupan oleh penyelam tentera dengan menaiki jet ski membawa kompas untuk diaktifkan oleh Perdana Menteri sebagai gimik perasmian segmen itu.
Kemudian Perdana Menteri dipersembahkan demonstrasi pergerakan taktikal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM); Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum aksi keupayaan menyelamat tebusan yang menggabungkan kepakaran beberapa agensi seperti Pasukan Khas Laut (PASKAL), Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR) Maritim Malaysia, Unit Gempur Marin PDRM dan Jabatan Laut Malaysia bersama aset permukaan dan udara masing-masing.
Upacara yang terakhir yang disajikan kepada pemimpin nombor satu negara itu adalah terbang lintas hormat dan pelayaran lintas hormat yang melibatkan aset udara dan permukaan sebagai penghormatan kepada Perdana Menteri dan tetamu-tetamu kenamaan yang lain.
Segmen maritim sempena penganjuran LIMA'23 bermula semalam sehingga 27 Mei di mana kemasukan pengunjung bagi segmen di Resort World Langkawi, Pantai Tengah itu adalah percuma.
Comments