
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim petang tadi selamat tiba di tanah air selepas lawatan hampir 5 hari menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Ke-78 di New York, Amerika Syarikat (AS).
Beliau disambut tiba ratusan penyokong termasuk menteri kabinet di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada kira-kira pukul 5 petang tadi.
"Alhamdulillah saya dan Azizah selamat tiba ke tanah air selepas selesai misi negara di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, Amerika Syarikat.
"Terima kasih atas sokongan dan titipan doa rakyat Malaysia yang mengiringi langkah kami di sana," katanya.
Selepas berjaya dalam misi menarik pelaburan asing beliau berharap akan lebih menekuni isu isu rakyat selepas ini.
"Fokus kini pastinya ke arah menopang isu rakyat dan memastikan kesinambungan kejayaan di New York diterjemah kepada kemakmuran ekonomi Malaysia," katanya lagi.
Menyambut ketibaan PM di lapangan terbang ialah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek bersama anggota Wanita KEADILAN serta para penyokong lainnya.