Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berpuas hati bahan bacaan dibekalkan dalam pesawat sepanjang perjalanan beliau dari Malaysia ke Riyadh, Arab Saudi semalam bermutu tinggi.
Dalam catatan di Facebooknya, Anwar teruja menatap majalah The Economist dan Dewan Masyarakat Bil 2: 2024.
"Saya pilih untuk menelaah Dewan Masyarakat dan amat kagum dengan bahasa, mutu karya dan pilihan rencana menarik dengan tema ‘debat hujah’, yakni usaha mendorong ke arah wacana segar berlandaskan hujah dan fakta serta menolak ketaksuban dan fitnah.
"Puisi pilihan ‘Bahasa Tanpa Kasta’ karya Abizal (Miri) ternyata mengalirkan jernih budi, menyejukkan kalbu setiap insan, menyeberangi sempadan benua, usia dan zaman," catatnya.
Namun Anwar tidak menyembunyikan kekhuatirannya bahawa bahan bacaan terbaik tidak menjadi bahan utama untuk ditatapi anak muda termasuk di institusi pengajian tinggi.
"Kekhuatiran saya justeru kerana majalah seperti Dewan Masyarakat tidak menjadi bacaan popular anak muda di sekolah dan universiti," katanya lagi.
Justeru, beliau menyayangkan artikel yang dibacanya mengenai politik taksub, debat hujah, ulasan buku ‘The History of Java’ dan penonjolan George Santayana yang merupakan pengolahan cermat dan berharga tetapi kesannya hampa kerana tidak dibaca sebahagian besar masyarakat.
Anwar berharap agar artikel atau rencana yang baik selepas ini akan mempunyai peminat yang banyak dalam kalangan rakyat Malaysia.
Kommentare