PM minta bantuan Prabowo selesai isu pelaburan FELDA di Indonesia
- Helmi Mohd Foad

- 1 day ago
- 3 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta bantuan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dalam usaha menyelesaikan masalah pelaburan FELDA di negara itu yang kini berdepan proses perundangan di Mahkamah Tinggi Indonesia.
Perdana Menteri berkata langkah itu diambil kerajaan bagi menangani masalah legasi FELDA termasuk pelaburan berkenaan yang menurutnya membabitkan potensi kerugian sehingga RM2.5 bilion.
"Saya telah menulis kepada Presiden Prabowo Subianto. Minta beliau melihat juga permasalahan ini. Kerugian kalau tidak ditangani RM2.5 bilion, yang mungkin yang kita perolehi nanti RM200 juta.
"Ini satu contoh. Saya mahu pengurus tahu masalah ini. Dan betapa beratnya harus dipikul oleh kita,” katanya ketika berucap pada program ramah mesra tertutup bersama pengurusan tertinggi dan pengurus FELDA di Bangi hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pelaburan di Indonesia itu merupakan antara masalah besar yang diwarisi FELDA dan perlu diketahui pengurus agensi berkenaan di seluruh negara.
Menurut beliau masalah legasi tersebut bukan berpunca daripada peneroka mahupun pengurus FELDA di lapangan sebaliknya berkait dengan pengurusan serta keputusan yang dibuat di peringkat atasan.
"Masalahnya bukan masalah pengurus. Bukan masalah peneroka. Masalahnya masalah pengurusan dan keputusan di atas.
"Apa dia masalah? Tadi pembinaan dalam masa singkat. Tentu saudara sedia maklum. Isu-isu dia bangkitkan.
"Tentu yang dia hebahkan itu hotel. Hotel itu kecil masalah. Masalah hotel itu baik London atau Kuching itu kecil ketimbang permasalahan besar," katanya.
Berdasar laporan Kertas Putih FELDA 2019, Isu tersebut berpunca daripada pelaburan FIC Properties Sdn Bhd (FICP), anak syarikat milik penuh FELDA yang membeli 37 peratus kepentingan dalam PT Eagle High Plantations Tbk (EHP) daripada kumpulan Rajawali di Indonesia pada harga AS$505.4 juta pada 2016.
Menurut kertas putih tersebut, pembelian itu dibiayai menerusi pinjaman RM2.3 bilion daripada GOVCO Holdings Bhd dan urus niaga berkenaan kemudian menjadi antara pelaburan FELDA yang menjalani kajian forensik.
Memetik laporan The Edge, FELDA membeli 37 peratus kepentingan dalam Eagle High daripada Rajawali menerusi FIC Properties Sdn Bhd (FICP) pada 2015 dengan nilai AS$505.4 juta (kira-kira RM2.04 bilion).
Pengambilalihan itu menerima kritikan hebat kerana harga pembelian tersebut adalah 95.86 peratus lebih tinggi berbanding nilai pasaran Eagle High ketika itu, menurut laporan itu.
Bagi membiayai pengambilalihan berkenaan, FICP terpaksa mendapatkan kemudahan pembiayaan berjumlah RM2.5 bilion daripada Govco Holdings Bhd, sebuah syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).
Bagaimanapun, FICP gagal memenuhi pembayaran balik pinjaman tersebut pada 2017.
Eagle High dimiliki secara majoriti oleh Rajawali yang dikawal oleh hartawan Tan Sri Peter Sondakh yang dikenali sebagai sekutu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
FICP kemudian mengeluarkan notis pertama untuk melaksanakan opsyen jual (put option) pada 11 Januari 2019 dengan alasan Eagle High gagal memenuhi syarat dalam perjanjian jual beli.
Bagaimanapun, Rajawali mempertikaikan tindakan itu dan memulakan prosiding timbang tara bagi menghalang FELDA daripada melaksanakan opsyen jual berkenaan.
Kertas Putih FELDA kemudian meletakkan pembelian EHP sebagai salah satu daripada lapan pembelian atau pelaburan yang menjalani kajian forensik.
Pertikaian berhubung pelaksanaan hak berkenaan dibawa ke timbang tara sebelum tribunal di bawah Singapore International Arbitration Centre (SIAC) pada 14 Jun 2024 memutuskan memihak kepada FICP dan mengarahkan Rajawali memenuhi obligasi membeli semula saham EHP tersebut.
Bagaimanapun, usaha FELDA menguatkuasakan keputusan timbang tara itu berdepan halangan selepas dua entiti Rajawali memfailkan permohonan Gugatan Penolakan atau Non-Eksekuatur di Mahkamah Daerah Jakarta Pusat pada Februari 2025 bagi mencabar penguatkuasaannya.
Anwar berkata beban akibat keputusan terdahulu akhirnya terpaksa ditanggung FELDA dan kerajaan termasuk pengurus di peringkat akar umbi yang tidak terbabit dalam keputusan berkenaan.
"Bukan salah pengurus. Pengurus FELDA di Pahang, di Johor. Apa mereka kenal? Tapi ditanggung oleh kita.
"Itu masalahnya. Jadi harus tahu. Yang soal siasatan, penguatkuasaan, mahkamah itu urusan lain," katanya.
Justeru itu, beliau mahu semua pengurus FELDA memahami masalah sebenar yang diwarisi agensi berkenaan dan tidak terpengaruh dengan propaganda yang cuba menggambarkan seolah-olah tiada kepincangan berlaku.
Anwar berkata pemahaman itu penting bukan untuk melemahkan semangat warga FELDA sebaliknya bagi memastikan masalah berkenaan ditangani dan tatakelola agensi diperkukuhkan.
"Saya mahu pengurus FELDA keseluruhannya benar-benar menghadam (memahami) permasalahan ini.
"Bukan dengan maksud untuk sekadar merasa lelah atau letih. Tapi tahu bahawa masalah ini mesti dan wajib ditangani.
"Dan mengapa kita tekankan soal pengurusan dan tatakelola itu," katanya.




Comments