
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai menghadap Raja Kemboja, Raja Norodom Sihamoni sempena lawatan rasmi sulungnya di negara itu semalam.
Dalam pertemuan di Istana Diraja Kemboja itu, Anwar berkata beliau menyampaikan hasrat kerajaan Malaysia untuk terus memperkukuhkan hubungan kedua-dua negara yang terjalin sejak 66 tahun lalu.
"Menjunjung kasih ke atas Raja Kemboja Raja Norodom Sihamoni atas kesudian menerima menghadap di Istana Diraja Kemboja sempena lawatan rasmi saya.
"Saya menyampaikan hasrat kerajaan Malaysia untuk terus memperkukuhkan jalinan hubungan kedua-dua negara," kata Presiden KEADILAN dalam hantaran di Facebook.
Anwar tiba ke negara itu pada Isnin atas undangan Perdana Menteri Kemboja Hun Sen.
Delegasi kemudian dirai dalam satu upacara sambutan rasmi di Peace Palace sebelum mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Hun Sen bagi merintis kerjasama pendidikan dan industri makanan halal.
Perdana Menteri turut sempat mengadakan kunjungan ke atas Presiden Senat Kemboja Say Chhum dan Presiden Dewan Rakyat Kemboja Heng Samrin selain bertukar-tukar pandangan.
Diaspora Malaysia turut diraikan dalam satu majlis di Kedutaan Malaysia di Phnom Penh bagi menyampaikan hasrat kerajaan.
Beliau turut menyertai majlis iftar khas yang dihoskan oleh Perdana Menteri Hun Sen bersama-sama golongan ilmuwan dan kira-kira 6,000 masyarakat Islam di Kemboja sebelum mengakhiri lawatan tersebut malam tadi.
Comments