top of page

PM mahu Proton jadikan Sidang Kemuncak ASEAN pentas tembusi pasaran global

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 5
  • 2 min read

DS Anwar mahu kereta eMAS 5 dipromosikan kepada delegasi Sidang Kemuncak ASEAN tahun ini
DS Anwar mahu kereta eMAS 5 dipromosikan kepada delegasi Sidang Kemuncak ASEAN tahun ini

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Proton memanfaatkan sepenuhnya Sidang Kemuncak ASEAN yang dijadual berlangsung Oktober ini sebagai pentas memasarkan kereta elektrik (EV) keluarannya kepada lebih 20 pemimpin negara yang akan hadir.


Beliau berkata, sidang tersebut bukan sahaja akan dihadiri ketua-ketua negara ASEAN dan Asia malah dari rantau lain termasuk Amerika Latin, Eropah dan Afrika, menjadikannya peluang terbaik untuk Proton menonjolkan keupayaan teknologi dan daya saing produk tempatan ke pasaran antarabangsa.


"Saya telah minta pihak Proton menyediakan satu ruang semasa sidang utama nanti untuk membawa para pemimpin ini melihat sendiri keupayaan, prestasi dan teknologi Proton.


"Ini adalah sebahagian daripada usaha kita untuk menembusi pasaran luar dan merobohkan tembok-tembok yang selama ini menghalang kemaraan kita," katanya dipetik ketika merasmikan pelancaran kilang EV Proton pertama di Malaysia di Tanjung Malim, semalam.


Anwar sempat berseloroh memberi “peringatan” kepada pengurusan Proton agar model EV pertama itu siap dan boleh dipamerkan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN.


"Saya beritahu kepada Proton, mesti siap sebelum sidang ASEAN. Itu dia sudah janji, kalau tak siap, jaga," katanya.


Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Geely Eric Li Shufu dan Kerajaan China atas komitmen dalam pemindahan teknologi dan latihan kemahiran kepada jurutera tempatan.


Beliau menjelaskan berbeza dengan kerjasama terdahulu bersama syarikat-syarikat Jepun yang tidak banyak memberikan ruang kepada pembangunan teknologi tempatan, kerjasama dengan Geely membuka lembaran baharu dalam pembangunan industri automotif negara.


"Dengan Geely, kita lihat kesediaan bukan sahaja untuk melabur tetapi juga memindahkan teknologi, melatih anak-anak kita, dan mewujudkan pusat kecemerlangan (centre of excellence) yang sangat diperlukan," jelas beliau.


Anwar menyifatkan peluncuran kilang EV Proton ini sebagai sejajar dengan tiga dasar utama negara iaitu Dasar Iklim dan Transisi Tenaga, Rangka Tindakan Perindustrian Negara dan Dasar Automotif Nasional (NAP).


Menyentuh kritikan yang mengatakan insentif cukai untuk EV hanya menguntungkan golongan kaya, menurut beliau penghasilan EV Proton yang lebih berdaya saing dari segi harga dan prestasi, rakyat berpendapatan sederhana turut akan mendapat manfaat.


"Dengan produk ini, kita boleh penuhi keperluan rakyat biasa. Kereta ini akan ditawarkan dengan kos lebih rendah dan kemampuan jarak perjalanan lebih jauh sebelum perlu dicas semula," katanya.


Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengumumkan hasrat untuk menjadikan Automotive High-Tech Valley (AHTV) di Tanjung Malim bukan sahaja sebagai pusat pengeluaran automotif malah sebagai pusat latihan, pendidikan dan penyelidikan berkaitan teknologi tinggi.


Katanya kerjasama dengan kerajaan negeri dan kementerian berkaitan amat penting bagi membangunkan ekosistem lengkap yang turut merangkumi pembangunan modal insan, kemudahan pendidikan, kesihatan dan pengangkutan awam.


"Saya mahu lihat pembangunan ini seimbang. Jangan kita lupakan kebajikan rakyat. Sekolah, hospital, pengangkutan – semua itu mesti berjalan seiring," tegas beliau.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page