
Krisis politik Myanmar yang masuk tahun ketiga sejak rampasan kuasa junta tentera pada awal 2021, dan terbaharu serangan kumpulan bersenjata ke atas diplomat bantuan kemanusiaan ASEAN di wilayah Sham negara itu pada 7 Mei lalu memerlukan pendekatan lebih tegas untuk mencari penyelesaian.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian kepada media Indonesia menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 di Labuan Bajo, Nusa Tenggara Timur, esok.
Bagi Anwar, satu kaedah penyelesaian baharu perlu difikirkan dalam menangani sikap pasif junta tentera Myanmar terhadap inisiatif negara jirannya menyelesaikan konflik.
"Isu ini berlarutan begitu lama. Negosiasi, constructive engagement. Tapi tidak membantu. Harus ada metodologi baru untuk menenangkan keadaan," kata Anwar dipetik tempo.co.
Sebelum ini ASEAN telah mengusahakan penyelesaian damai Five Point Consensus termasuk dialog konstruktif, penghentian kekerasan, mediasi antara berbagai pihak, pemberian bantuan kemanusiaan dan pengiriman utusan khusus ke Myanmar bagi mencari jalan keluar.
Namun pihak tentera atau Tatmadaw tidak menunjukkan sikap yang terbuka mencapai kata sepakat.
Oleh itu, Anwar menyarakankan satu kaedah baharu ditemukan pada waktu pelarian Myanmar telah menjadi masalah dalam negeri Malaysia.
"Ini bukan lagi permasalahan dalaman Myanmar. Tetapi, telah menggugat kestabilan, sosio-ekonomi negara jiran, Malaysia itu termasuk di antaranya. Pendirian ini harus tegas dan jelas, dan itu tidak harus membebankan kita," katanya.
Sehingga kini terdapat kira kira 200,000 pelarian Rohingya, salah satu suku etnik Myanmar yang ditindas pihak tentera berlindung di Malaysia.
Myanmar dilanda kekacauan politik sejak rampasan kuasa tentera pada 2021 yang menggulingkan kerajaan dipimpin Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) parti yang mana tokoh reformis Aung San Suu Kyi sebagai ketua umumnya.
Selepas itu banyak ahli politik Myanmar sama ada melarikan diri keluar negara atau bergabung dengan puak pemberontak bersenjata menentang junta secara perang gerila.
Comments