Kecelaruan politik dan pentadbiran Malaysia boleh diatasi dengan mudah sekiranya Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin yang sedar beliau telah kehilangan majoriti berundur secara terhormat.
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Mahiaddin faham petanda jelas yang diungkapkan melalui titah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja kelmarin yang tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan beliau, selepas situasi semasa Covid 19, ekonomi dan darurat dipersembahkan kepada Baginda dan Raja-raja Melayu.
"Mahiaddin faham setiap kali dengar ini semua (keadaan penerintahan semasa) Yang di-Pertuan Agong memberikan titah sedemikian.
"Maknanya tidak memuaskan dan untuk menetapkan di sini bahawa kerajaan sekarang ikut Perlembagaan dan undang-undang, saya sebutkan, kalau betul ikut Perlembagaan, seorang PM yang tahu hilang majoriti harus secara terhormat undur.
"Seorang PM harus ada kewibawaan berdepan dengan rakyat, media, berhujah dengan Pembangkang di Parlimen. Mesti bersedia jawab pertanyaan tentang tender, kos vaksin, siapa ejennya dan semua hal yang sekarang ini diselindung atas nama darurat yang pada hemat saya mendorong Raja-raja Melayu menyatakan sikap buat julung-julung kali dalam sejarah.
"Berdasarkan prinsip Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen kita mesti hentikan sikap angkuh yang ada sekarang sehingga kalau kita biarkan keadaan begini, Perikatan Nasional (PN) seolah-olah cuba membawa 'satu suhu'. Bukan sahaja suhu politik menghangat, cara mereka menjawab, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan PM telah membawa suhu ketengangan itu yang tempiasnya sampai ke Raja-raja Melayu. Kita mengharapkan ada perubahan berlaku dan pemerintah lebih telus dan bertanggungjawab," kata Anwar dalam siaran Facebook, malam tadi.
Ahli Parlimen Port Dickson itu juga menyarankan kepada Jawatankuasa Bebas Darurat yang dibentuk bagi menasihati Agong supaya segera menasihatkan Baginda untuk menarik semula Darurat sebelum Ogos 2021.
"Tiada keperluan letak negara dalam darurat selepas 1 Ogos (kenyataan Majlis Raja-raja). Ini beri kenyataan jelas, satu saranan.
"Bagi saya Jawatakuasa Bebas Daruat yang menasihati Agong selepas ini buat keputusan terus sahaja. Hentikan darurat sekarang atau selewat-lewatnya 1 Ogos," katanya.
Pengerusi Pakatan Harapan itu juga membidas cara Menteri Takiyuddin Hassan dalam menjawab titah Yang di-Pertuan Agong untuk segera membuka Parlimen secara biadap.
Katanya, dalam budaya rakyat Malaysia, sekiraya seseorang tidak berpuas hati dengan Raja-raja Melayu maka mereka menyampaikan perbezaan pandangan secara berhemah dan bukan dengan mempersoalkan tiada tarikh ditetapkan Agong untuk Parlimen dibuka.
"Menteri di Jabatan Perdana Menteri masih mahu besilat dan bertikam lidah cara paling lemah dan hambar, iaitu Tuanku tidak menetapkan tarikh.
"Orang boleh berfikir waras, bahawa Istana Negara terpaksa menyuarakan (buka Parlimen) kerana ini keluhan masyarakat dan (Agong) telah mendengar majorti parti politik mewakili majoriti pimpinan dalam negara kita yang menuntut supaya darurat dihentikan serta Parlimen diadakan sidang secepat mungkin," katanya.
Selain itu, Anwar gembira dengan kenyataan Agong dan Majlia Raja-raja yang membangkitkan soal-soal kelemahan pentadbiran yang memprihatinkan sebagaimana dibicarakan oleh rakyat saban hari.
Hal itu termasuk exit strategy dengan mendapatkan segara vaksin Covid 19 secukupnya dan mengagih secepatnya serta permudahkan agihan tersebut.
Juga soal ekonomi, pekerjaan rakyat dan kerajaan yang lebih stabil serta berwibawa untuk membawa keluar Malaysia daripada kemelut sedia ada.
Comments