top of page

Kerajaan MADANI ambil langkah proaktif hadapi fenomena El Nino

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • 1 hour ago
  • 1 min read
DS Anwar mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara berkaitan fenomena El Nino
DS Anwar mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara berkaitan fenomena El Nino

Pencegahan dan persediaan awal merupakan benteng terbaik dalam mengharungi kesan cuaca ekstrem yang semakin tidak menentu.


Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikannya pada Khamis meneliti pembentangan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengenai fenomena El Nino serta implikasinya terhadap negara.


Justeru bersetuju supaya kesiapsiagaan di peringkat akar umbi diperkukuh dalam menghadapi fenomena tersebut.


"Mesyuarat bersetuju agar METMalaysia segera memperhebat usaha penerangan dan turun ke semua negeri bagi menyampaikan taklimat serta pencerahan yang menyeluruh," kata beliau dalam hantaran di media sosial.


El Nino ialah fenomena iklim semula jadi yang menyebabkan peningkatan suhu permukaan laut di bahagian tengah dan timur Lautan Pasifik khatulistiwa, sekali gus membawa perubahan kepada corak angin, tekanan udara dan taburan hujan.


Agensi cuaca dan iklim PBB, World Meteorological Organization (WMO), memaklumkan bahawa keadaan El Nino berkemungkinan berlaku seawal tempoh tiga bulan antara Mei hingga Julai.


WMO turut menyatakan petunjuk awal menunjukkan fenomena itu berpotensi menjadi kuat.


Sementara itu menurut PM, mesyuarat semalam turut meneliti pembentangan hala tuju syarikat perkhidmatan dan peralatan minyak serta gas (OGSE) negara.

Beliau menegaskan bahawa dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, ketegangan geopolitik dan pelbagai krisis antarabangsa, Kerajaan MADANI akan terus berikhtiar dengan penuh kebijaksanaan dan berpandangan jauh agar kepentingan rakyat sentiasa terjaga, ekonomi negara kekal mampan, berdaya tahan serta teguh menghadapi sebarang cabaran mendatang.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page