Kemelut politik yang berpanjangan melanda Malaysia hanya boleh diselesaikan sekiranya Perdana Menteri (PM) Tan Sri Mahiaddin Yassin berundur secara terhormat.
Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN Damansara, Dzulhilmi Zainol, tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang berkonfrantasi dengan Istana Negara dan penarikan sokongan Umno ke atas PM tidak memungkinkan kerajaan yang ada mampu menguruskan negara secara sebaik-baiknya.
"Sejumlah 107 Ahli Parlimen berhimpun di Dataran Merdeka 2 Ogos lalu selepas mereka dihalang daripada memasuki Parlimen adalah satu kenyataan tegas menuntut Perdana Menteri berundur dengan kadar segera.
"Ini bermakna jumlah kerusi Parlimen yang dimiliki oleh Tan Sri Mahiaddin tidak mencecah 90 kerusi selepas penarikan diri beberapa Ahli Parlimen Umno yang tidak berada di dalam koalisi PN atau gabungan tersebut secara mutlak," katanya dalam satu kenyataan.
Dzulhilmi juga memperingatkan agar Umno tidak bermain politik untuk melantik Perdana Menteri dalam kalangan parti itu yang sama-sama dibenci rakyat berikutan para menteri parti berkenaan gagal menangani wabak Covid 19.
Katanya sekiranya hal itu berlaku politik, Malaysia akan terus bergolak dan ekonomi tidak akan berkembang.
Sehubungan itu, Dzulhilmi mencadangkan agar pemimpin yang masih belum terpalit dengan kelemahan kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini atau kerajaan PN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dicalonkan sebagai PM baharu.
Katanya, hanya dengan cara itu politik Malaysia akan stabil kerana rakyat kembali meyakini kerajaan memerintah.
"Oleh yang demikian, Datuk Seri Anwar wajar diangkat sebagai PM Malaysia ke 9 seiring dengan jumlah kerusi Ahli Parlimen yang menyokong beliau daripada gabungan Pakatan Harapan serta beberapa sokongan dari Ahli Parlimen pembangkang yang lain.
"Kestabilan politik negara bakal menuju ke arah yang lebih baik jika perkara ini berlaku sekaligus kerajaan baharu yang dibentuk oleh Datuk Seri Anwar dapat memberi tumpuan terhadap usaha menguruskan pandemik Covid-19 serta meningkatkan keyakinan pelabur asing dalam menjamin prestasi ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat," katanya lagi.
Comments