PM lawat secara pintu belakang: Pemimpin Pas Terengganu bohong - Azan


Ungkapan Timbalan Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Sulaiman Sulong dalam hantaran di Facebook hari ini kononnya lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negeri itu semalam melalui 'pintu belakang dan tidak beri salam' adalah bohong.
Pemimpin KEADILAN Terengganu, Azan Ismail berkata, kunjungan tersebut sebaliknya telah dimaklumkan terlebih dahulu.
Dalam kata lain, ujar beliau 'salam' telah diberikan dan pegawai dari Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) hadir bertemu PM.
"Kunjungan PM ke Terengganu bertujuan untuk mengadap Tuanku Sultan membincangkan beberapa kepentingan rakyat Terengganu, kemudian PM ambil peluang berjumpa pegawai kerajaan seluruh agensi, dia jemput semua untuk mendengar taklimat dan berdialog di UMT sebab Kerajaan Negeri tidak menyediakan tempat yang dikuasai oleh Kerajaan Negeri
"Maklumat kedatangan PM ke Terengganu telah diketahui oleh Kerajaan Negeri sebab itu yang datang adalah SUK, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri tetapi malangnya yang langsung tidak hadir adalah di kalangan ahli politik negeri Terengganu. MB tiada, Exco tiada, wakil rakyat Pas pun tiada.
"Jadi nak kata tidak mendapat maklumat itu adalah bohong, tidak benar. Kalau tidak ada maklumat tak kan Setiausaha Kerajaan Negeri dapat hadir menyambut," katanya kepada Suara Keadilan.
Kata mantan ADUN Bandar itu lagi, beliau dimaklumkan bahawa Menteri Besar Terengganu ada dalam negeri semalam. Malah katanya jika tidak dapat hadir maka beliau boleh menghantar wakil.
Beliau menempelak tindakan MB Terengganu yang menyepikan diri kerana PM sebelum ini telah menghulurkan bantuan banjir RM50 juta untuk permulaan menjalin hubungan baik.
Malah katanya, MB Kelantan yang juga pimpinan utama Pas mengambil pendekatan berbeza dengan menyambut Anwar ketika melawat negeri itu tahun lalu.
Menurut Azan lagi, langkah tidak menyambut PM sebaliknya memakan diri pemimpin Pas negeri kerana MB tidak mengaja protokol mengiringi PM sewaktu menghadap Sultan Terengganu.
"Kebiasaannya apabila PM datang sepatutnya MB mengiringi PM untuk berumpa Sultan, itu adalah amalan biasa. MB mengiringi istiadat menghadap.
"Kita boleh gambarkan MB Terengganu ini tidak menghormati institusi Sultan itu sendiri malah dia menimbulkan satu suasana yang amat tidak baik. Sepatutnya MB iring PM dari segi protokol.
"Ini menunjukkan seolah olah MB sendiri tidak menghormati institusi Kesultanan Terengganu," katanya lagi.




Comments