top of page

PM lancar Sumud Darat, misi bantuan 30 kontena ke Gaza

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 days ago
  • 2 min read
DS Anwar menyerahkan bendera Malaysia sebagai simbolik misi bantuan ke Gaza
DS Anwar menyerahkan bendera Malaysia sebagai simbolik misi bantuan ke Gaza

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Sumud Darat - Misi Bantuan Kemanusiaan 30 Kontena Malaysia ke Gaza.


Majlis pelepasan rasmi misi disempurnakan pada Majlis Berbuka Puasa Pemimpin Masyarakat Tempatan di Kompleks Seri Perdana semalam yang turut dihadiri Isteri beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.


Dipetik laporan, misi berskala nasional itu diterajui Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bersama Sumud Nusantara dengan dukungan penuh Kerajaan Malaysia.


Menurut MAPIM, misi membawa muatan 374 tan akan digerakkan secara berfasa dengan penghantaran Pasukan Awal Misi ke Kaherah, Mesir dijangka pada Selasa ini.

Bantuan merangkumi 30 kontena bersaiz besar mengandungi 14 kontena kotak makanan, lapan kontena tepung dan lapan kontena kit kebersihan yang dijangka memanfaatkan lebih 100,000 rakyat Palestin.


"Kerajaan memandang serius penutupan ruang udara antarabangsa susulan ketegangan konflik di Timur Tengah serta penutupan penuh sempadan Rafah.


"Walau bagaimanapun, Malaysia kekal tegas dan konsisten mempertahankan prinsip kemanusiaan sejagat dan tidak akan berdiam diri melihat penderitaan rakyat awam," menurut laporan itu.


Turut hadir pada pelancaran misi itu semalam ialah barisan Jemaah Menteri antaranya Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.


Hadir sama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Datuk Seri Sollehuddin Alyubi Zakaria serta Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby.


"Inisiatif Sumud Darat mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi Malaysia dalam mempertahankan hak, maruah dan kelangsungan hidup rakyat Palestin.


"Kita menolak segala bentuk penindasan, menentang kezaliman tanpa mengira pelakunya dan menyokong usaha ke arah keamanan yang berteraskan keadilan serta undang-undang antarabangsa," kata Anwar menerusi kenyataan sama.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page