PM lancar buku “Truly Asia: Malaysia” di China, angkat kepelbagaian negara
- Suara Keadilan
- 3 minutes ago
- 1 min read

Dalam rangka lawatan rasmi ke China, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkesempatan melancarkan sebuah buku bertajuk “Truly Asia: Malaysia — A Country You Won’t Want To Abandon” karya Dr Yan Lijin, seorang ahli akademik, pakar ekonomi dan ahli perniagaan dari negara itu.
Menurut Anwar, buku tersebut menzahirkan penghargaan tulus Dr Yan terhadap Malaysia yang digambarkan sebagai sebuah negara yang unik dengan kepelbagaian budaya, tradisi serta kemodenan, selain keindahan alam semula jadi yang mempesona.
"Buku ini berjaya menggambarkan kepelbagaian wajah Malaysia yang kaya budaya, tradisi dan kemodenan, di samping keindahan alam semula jadi yang memukau.
"Ia bernilai bukan sahaja untuk pelaburan, pendidikan dan eksplorasi budaya, tetapi juga untuk mengenali pesona Malaysia secara menyeluruh," katanya dalam muat naik di media sosial.
Dalam pada itu, Anwar turut menekankan bahawa usaha Dr Yan itu selari dengan semangat memperkukuh hubungan Malaysia–China yang sudah lama terjalin.
"Saya menghargai keikhlasan Dr Yan yang berusaha memperkukuh hubungan antara rakyat Malaysia dan China melalui buku ini, sebagaimana utuhnya persahabatan yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara," tambah beliau.
Pelancaran buku ini berlangsung di sela sela pertemuan PM dengan syarikat-syarikat gergasi China, sekali gus menandakan usaha berterusan Malaysia memperkenalkan daya tarikan negara bukan sahaja sebagai destinasi pelaburan, tetapi juga sebagai rakan budaya dan pendidikan di rantau ini.
Untuk rekod, PM pada waktu ini dalam rangka lawatan menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) dan Sambutan Ulang Tahun ke-80 Kejayaan Rakyat China dalam Peperangan Menentang Pencerobohan Jepun dan Peperangan Anti-Fasis Sedunia.
Beliau tiba di China pada 31 Ogos dan hari ini merupakan hari terakhir lawatan ke negara tirai bambu itu.