Kontroversi berkaitan kemasukan pelancong dari China di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin menyebabkan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan lawatan mengejut bagi melihat sendiri Jabatan Kastam dan Imigresen menjalankan tugas.
PM dalam catatan di Facebooknya petang tadi berkata beliau perlu melihat isu berbangkit atau permasalahan sewaktu pengendalian harian membabitkan pelancong dan warga asing, selain warga tempatan.
"Dalam lawatan mengejut ke kaunter Imigresen dan Kastam di KLIA sebentar tadi, saya dapati ada ruang untuk penambahbaikan bagi memantapkan pengoperasian di pintu masuk negara ini.
"Saya sempat bertegur sapa dan bertanyakan kepada anggota serta pegawai bertugas berkenaan operasi harian, baik di kaunter ketibaan mahupun pelepasan," katanya.
Mengulas lanjut mengenai isu melibatkan pelancong China baru baru ini, PM berkata pentadbirannya akan melakukan siasatan rapi berhubung perkara itu dan perbincangan awal akan dilakukan dalam mesyuarat kabinet Rabu ini.
"Sementelahan, tindakan juga akan diambil pihak terbabit andai wujud kesilapan yang tidak sepatutnya sehingga menjejaskan kelinciran operasi.
"InsyaAllah tahap keselamatan dan pengoperasian di lapangan terbang negara akan senantiasa ditambahbaik dalam memastikan perkhidmatan sewajarnya diberikan kepada semua pihak," katanya lagi.
Khamis lalu, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Tiong King Sing masuk ke kaunter imigresen bagi 'melepaskan' pelancong China yang ditahan.
Menteri itu berkata tindakan itu mendakwa warga China itu bukanlah orang pertama yang menerima layanan sedemikian apabila tiba di Malaysia. Beliau juga mendakwa berlaku kegiatan rasuah di KLIA
SPRM dan polis sedang menyiasat kejadian itu.
댓글