PM kukuh kerjasama dengan Afrika Selatan, bertemu kapten industri tempatan
- Suara Keadilan

- 11 minutes ago
- 2 min read

Malaysia menegaskan komitmen untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Afrika Selatan melalui kerjasama strategik merangkumi sektor ekonomi, teknologi, pertahanan dan pembangunan masa depan kedua-dua negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian susulan rangka lawatan kerja beliau ke Afrika Selatan, yang menyaksikan beberapa sesi pertemuan penting bersama kepimpinan negara tersebut dan pemain utama industri.
Menurut Perdana Menteri, beliau telah mengadakan pertemuan dengan para kapten industri dan pemimpin syarikat utama di bagi membincangkan hala tuju kerjasama ekonomi.
"Saya bertemu para kapten dan pemain industri di Afrika Selatan untuk berbincang mengenai halatuju lapangan teknologi dan ekonomi. Fokus kami mencakup sektor AI, EV, infrastruktur dan perbankan dengan perbincangan yang strategik dan jelas.
"Kerjasama business-to-business turut diberi penekanan agar hubungan ekonomi tidak hanya di tingkat kerajaan-ke-kerajaan tetapi turut merangkum pemain industri yang menjadi penggerak sebenar," katanya dalam muat naik di media sosial.
Anwar turut memaklumkan bahawa aspek pertahanan juga menjadi bidang tumpuan baharu dalam hubungan dua hala, termasuk perancangan kunjungan semula oleh Menteri Pertahanan Malaysia pada tahun hadapan.
"Kami turut menyentuh sektor pertahanan, dan Menteri Pertahanan akan kembali ke sini tahun hadapan bagi meneroka peluang industri pertahanan di sini. Malaysia komited memperkukuh hubungan ini secara pragmatik dan berfasa," jelas beliau.
Sebelum itu, Perdana Menteri telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Republik Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa. Dalam pertemuan tersebut, Anwar menzahirkan ucapan tahniah kepada negara itu yang kini menjadi negara Afrika pertama memegang Kepresidenan G20.

"Tema ‘Solidarity, Equality, Sustainability’ selari dengan fokus Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, dengan penumpuan khusus kepada usaha memperkukuh daya tahan bencana, kestabilan hutang, serta pendanaan peralihan tenaga yang adil dan mampan," ujar beliau.
Kedua-dua pemimpin turut menilai semula kemajuan hubungan dua hala, susulan lawatan rasmi Presiden Ramaphosa ke Putrajaya pada Oktober lalu.
"Malaysia bersedia memuktamad dan menandatangani beberapa dokumen penting termasuk MoU Kerjasama ekonomi dan industri, kerjasama halal, pertanian, tenaga hijau, teknologi, penyelidikan, serta kerjasama pendidikan dan TVET.
"Saya turut menawarkan ruang dan insentif di MY Integrated Circuit (IC) Design Park kepada syarikat dari Afrika Selatan untuk menyertai rantaian nilai semikonduktor Malaysia," kata Anwar.
Dalam masa sama, Malaysia turut membuka ruang baharu kerjasama perdagangan termasuk daging lembu, sains dan inovasi. Perdana Menteri juga memohon dukungan Afrika Selatan bagi pencalonan Malaysia di beberapa badan antarabangsa seperti IMO, ECOSOC, ITU, HRC dan UNSC.
Mengakhiri kenyataan, Perdana Menteri menegaskan tekad Malaysia untuk membina hubungan yang lebih kukuh berteraskan kepercayaan dan manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.
"Malaysia komited membina hubungan yang lebih kukuh berteraskan solidariti, keyakinan dan agenda pembangunan yang saling memanfaatkan rakyat kedua-dua negara Malaysia dan Afrika Selatan," katanya lagi.









Comments