PM ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-49


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan yang dijadual berlangsung sehingga 17 November ini.
Pesawat khas membawa Perdana Menteri dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan delegasi mendarat di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino pada 8 malam tadi.
Hari ini Perdana Menteri dijadual menyertai Sesi Pleno dan Permukiman Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 sebelum ke sesi libat urus pemimpin ASEAN bersama dengan Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) serta wakil Belia ASEAN.
Anwar dijadual menghadiri siri sidang kemuncak ASEAN bersama dengan rakan dialog utama, iaitu China, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Australia dan Korea Selatan pada Isnin sebelum berlepas pulang ke tanah air bagi menyambut lawatan rasmi Presiden Perancis Emmanuel Macron di Malaysia.
Selesai menyambut ketibaan Macron, Anwar dilapor akan kembali semula ke Manila untuk menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat dan majlis makan malam rasmi yang dihoskan Presiden Filipina Ferdinand Romualdez Marcos Jr.
Selain jadual persidangan yang padat, Anwar dijangka mengadakan beberapa siri pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari negara anggota ASEAN di sela-sela sidang kemuncak berkenaan.
Duta Besar Malaysia ke Filipina, Datuk Abdul Malik Melvin Castelino Anthony menyifatkan penyertaan Perdana Menteri membolehkan Malaysia mempengaruhi dasar serantau dalam bidang politik dan keselamatan, ekonomi serta sosiobudaya.
"Sidang Kemuncak ini menyediakan platform strategik untuk berinteraksi secara langsung dengan pemimpin Negara-Negara Anggota ASEAN dan Rakan-Rakan Dialog sekali gus memupuk dialog mengenai cabaran bersama yang mendesak di samping memperkukuh hubungan dua hala yang utama," katanya.




Comments