PM kesal pembangkang terus ‘maki hamun’ ketika negara berdepan krisis dunia
- Helmi Mohd Foad

- 11 hours ago
- 2 min read

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar sikap segelintir pemimpin pembangkang yang terus menyerang kerajaan walaupun negara sedang berdepan tekanan akibat konflik geopolitik global.
Beliau berkata, tindakan itu tidak bertanggungjawab kerana situasi semasa berpunca daripada perang dan ketegangan antarabangsa yang menjejaskan ekonomi dunia termasuk kenaikan mendadak harga minyak.
"Dalam keadaan ekonomi dunia jatuh, minyak tersekat, masih ada beberapa orang pembangkang maki hamun kerajaan," katanya ketika berucap pada program santai bersama komuniti di Permatang Pauh, Pulau Pinang hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata gangguan di laluan strategik global seperti Selat Hormuz menyebabkan bekalan minyak dan gas dunia terganggu sekali gus melonjakkan harga bahan api di banyak negara.
"Ini bukan salah kita. Ini masalah perang dunia," tegasnya sambil menjelaskan Malaysia tetap berusaha mengekalkan harga petrol RON95 pada RM1.99 bagi mengurangkan beban rakyat.
Namun beliau kesal apabila usaha tersebut tidak dihargai, malah terus dijadikan bahan serangan politik.
"Sepatutnya dalam keadaan begini semua pakat cari penyelesaian, bantu rakyat yang susah, bukan tambah ketegangan," katanya.
Perdana Menteri berkata kerajaan telah mengadakan mesyuarat khas Kabinet dan Majlis Keselamatan Negara bagi menangani kesan konflik termasuk memastikan bekalan tenaga dan kestabilan ekonomi negara terus terjamin.
Anwar menggesa pembangkang agar menghentikan retorik melampau dan menunjukkan kematangan politik dengan mengutamakan kepentingan rakyat berbanding keuntungan politik jangka pendek.
"Kalau ada dana, bantulah rakyat. Jangan hanya pandai menghina dan menimbulkan keresahan," katanya.
Dalam pada itu Perdana Menteri menegaskan Malaysia mengambil pendirian tegas mengutuk serangan terhadap Iran sambil menggesa semua pihak meredakan ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat.
Menurut beliau, konflik yang melibatkan serangan oleh Israel dan Amerika Syarikat ke atas Iran kini semakin meruncing apabila tindakan balas menggunakan peluru berpandu dan drone mula menjejaskan kawasan awam di beberapa negara rantau tersebut.
"Ketegangan ini sudah merebak ke seluruh rantau dan memberi kesan langsung kepada ekonomi global," katanya.
Anwar berkata Malaysia turut dihubungi beberapa pemimpin dunia termasuk dari Turki, India, negara Arab dan ASEAN bagi membincangkan usaha meredakan konflik.
"Apabila laluan minyak dan gas terganggu, harga melonjak tinggi. Banyak negara terkesan teruk," katanya.
Beliau mendedahkan ketika ini Thailand sudah melaksanakan catuan minyak manakala Kemboja hampir mengisytiharkan darurat
Singapura pula mencatat harga petrol melebihi RM10 seliter, ujarnya.
"Dengan kerjasama Petronas, bekalan minyak (negara) dijangka mampu bertahan sehingga Mei," jelasnya.
Dalam masa sama, beliau memberi amaran bahawa harga baja import meningkat dan kos pengeluaran makanan dijangka naik dengan tekanan inflasi mungkin berlaku dalam tempoh terdekat
Menjelang Aidilfitri, Anwar menggesa rakyat mengamalkan perbelanjaan berhemah berikutan ketidaktentuan ekonomi global.
Menurut beliau, walaupun banyak negara berdepan kejatuhan mata wang, Malaysia masih mampu bertahan buat masa ini.
Namun beliau mengingatkan keadaan itu tidak akan kekal tanpa disiplin dan kerjasama semua pihak.
Mengulas ketegangan kecil melibatkan NGO agama, Anwar menegaskan tindakan tegas akan diambil bagi mengelakkan konflik kaum.
"Jangan biarkan pergaduhan kecil merosakkan negara. Kita belajar daripada negara lain, bila konflik bermula, ekonomi hancur dan rakyat menderita," katanya.
Beliau menekankan Malaysia sebagai negara berbilang kaum perlu terus mengamalkan toleransi dan saling menghormati.
"Janganlah sampai negara ini jadi kacau-bilau. Rakyat ni terlalu ikut (perasaan) yang Muslim marah ke Hindu, yang Hindu marah ke Muslim.
"Yang kita marah kita bergaduh, negara rosak hancur. Jadi sebab itu kena ada kewarasan," katanya lagi.




Comments