PM kerja kuat naik imej negara, tiada masa layan fitnah politik kebencian - Abun
- Akmal Manaf

- Jun 26
- 2 min read

Ketika Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mencipta kejayaan memperkukuh ekonomi negara dan membuka lembaran baharu kerjasama strategik di peringkat antarabangsa, masih wujud segelintir pihak yang lebih gemar menabur tohmahan berbanding mengiktiraf usaha membawa kemajuan kepada Malaysia, kata Senator Abun Sui Anyit (gambar).
Ahli Dewan Negara itu berkata, kejayaan PM Anwar memperkukuh ekonomi negara dapat dilihat menerusi pengukuhan nilai ringgit, pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan dan kejayaan memperoleh komitmen kerjasama ekonomi dan kontrak bernilai tinggi hasil lawatan rasmi ke Rusia dan Turkmenistan.
"Namun demikian, saya berasa amat terkilan dan kecewa kerana masih terdapat pihak-pihak tertentu yang terus-menerus memburukkan PM Anwar dengan pelbagai tohmahan dan naratif yang mengelirukan.
"Ketika beliau bertungkus-lumus bekerja siang dan malam demi kepentingan rakyat dan negara, masih ada segelintir pihak yang memilih untuk menyebarkan kebencian serta memainkan politik yang tidak membina.
"Hakikatnya, PM Anwar tidak mempunyai masa untuk melayan segala fitnah dan kritikan berniat jahat tersebut kerana keutamaan beliau adalah memastikan ekonomi negara terus berkembang, menarik pelaburan berkualiti, meningkatkan taraf hidup rakyat serta memacu kemajuan Malaysia," katanya menerusi satu kenyataan.
Oleh itu kata Abun, rakyat Malaysia khususnya golongan ‘silent majority’ diingatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan naratif yang disebarkan oleh pihak-pihak yang hanya mahu menimbulkan kebencian dan menghalang usaha membangunkan negara.
Beliau yang juga Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang yakin rakyat Malaysia matang dalam membuat penilaian dan mampu membezakan antara fakta dan pencapaian sebenar dengan naratif yang mengelirukan.
"Sokongan rakyat yang rasional merupakan benteng paling kukuh kepada sebuah kerajaan yang bekerja dengan ikhlas demi kesejahteraan negara.
"Marilah kita bersama-sama memberikan ruang kepada Kerajaan MADANI untuk terus melaksanakan agenda reformasi dan pembangunan demi masa depan Malaysia yang lebih makmur, stabil dan dihormati di peringkat antarabangsa," katanya.
Dalam kenyataan sama, Abun turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar atas kejayaan yang semakin menyerlah dalam memperkukuh kedudukan ekonomi negara.
Abun menyifatkan, kejayaan tersebut bakal membuka lebih banyak peluang pelaburan, perdagangan, pekerjaan dan manfaat kepada seluruh rakyat.
"Saya amat menghargai segala usaha yang telah dilakukan oleh PM Anwar dalam mengangkat nama Malaysia di persada antarabangsa.
"Kejayaan ini membuktikan bahawa diplomasi ekonomi yang aktif dan kepimpinan yang berwibawa mampu membawa pulangan yang besar kepada negara," ujarnya lagi.




Comments