top of page

PM kecam kuasa besar dunia jadikan ekonomi sebagai senjata geopolitik

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 hours ago
  • 2 min read
DS Anwar berucap dalam Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-31 di Tokyo, Jepun
DS Anwar berucap dalam Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-31 di Tokyo, Jepun

Kecenderungan negara kuasa besar dunia menggunakan ekonomi sebagai senjata geopolitik sehingga menjejaskan kestabilan perdagangan global dikritik.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi ucaptama di Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-31 di Tokyo, Jepun semalam berkata, ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik yang semakin kompleks, sistem perdagangan pelbagai hala yang selama ini menjadi tunjang integrasi ekonomi dunia kini berdepan tekanan.


Tindakan negara besar menggunakan ekonomi sebagai senjata geopolitik tegasnya telah memberi kesan paling ketara kepada negara-negara membangun yang lebih mudah terjejas terhadap sebarang krisis.


"Sekatan eksport dan dasar perindustrian kini semakin dipengaruhi oleh persaingan geopolitik. Yang paling membimbangkan ialah kecenderungan yang semakin meningkat untuk menjadikan saling kebergantungan ekonomi sebagai senjata.


"Rantaian bekalan, teknologi, mineral kritikal, kewangan dan akses pasaran semakin dilihat melalui lensa persaingan, bukannya manfaat bersama.


"Bagi kuasa besar, perkara ini boleh dimanfaatkan sebagai instrumen kenegaraan. Namun bagi banyak negara lain, ia menjadi sumber kerentanan," katanya dipetik.


Perdana Menteri merujuk konflik berpanjangan di Gaza, ketegangan di Asia Barat, peperangan di Ukraine serta persaingan kuasa besar di rantau Asia yang terus memberi kesan kepada kestabilan dan keamanan sejagat.


"Tragedi berterusan di Gaza, ketegangan di Asia Barat dan kesan global yang semakin meruncing, serta perang berpanjangan di Ukraine mengingatkan kita tentang rapuhnya keamanan dan keterbatasan konsensus antarabangsa.


"Kita masih menjadi tebusan kepada dinamika kuasa sifar jumlah yang menyaksikan pihak yang kuat terus berkepentingan untuk menekan yang lemah. Ini adalah formula kegagalan," jelasnya.


Menerusi ucaptamanya, Anwar menegaskan dunia memerlukan kepimpinan yang berani menyuarakan kebenaran dan ketidakadilan, bukannya terus membiarkan pendekatan politik kuasa membentuk hala tuju hubungan antarabangsa.


Malah tegasnya, negara membangun seperti Malaysia dan lain-lain negara ASEAN mempunyai peranan penting untuk menjadi jambatan dalam merapatkan jurang perbezaan serta membina kesepakatan ketika dunia semakin berpecah.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page