PM ke Kazan teruskan misi diplomatik, perdagangan
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 2 min read

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam tiba di Kazan, salah satu negeri dalam Persekutuan Rusia untuk misi diplomatik dan perdagangan.
Beliau disambut oleh Ketua Republik atau Rais Tatarstan, Rustam Minnikhanov di Kremlin Kazan dengan dihidangkan manisan chack chack dan rkaravay, simbol adat turun-temurun bagi memuliakan tetamu.
"Kami mengadakan pertemuan di Kazan Kremlin sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kerjasama dua hala Malaysia–Rusia melalui saluran wilayah.
"Saya nyatakan komitmen Malaysia untuk memperluas kerjasama dalam perdagangan, kewangan Islam dan industri halal, serta menzahirkan penghargaan atas jemputan ke Kazan.
"Kami bersetuju untuk memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, termasuk menerusi penyertaan aktif dalam Kazan Forum serta penerokaan industri halal dan kewangan Islam yang kian berkembang di Tatarstan," katanya dalam muat naik di Facebook.
Selain itu, kata Anwar, kerjasama dalam bidang pertanian turut diberikan perhatian, khususnya dalam pembangunan baja untuk menjamin sekuriti makanan, di samping membincangkan bidang pendidikan teknikal, teknologi aeroangkasa dan sains.
Rais Rustam juga menzahirkan penghargaan atas sokongan Malaysia terhadap Kumpulan Visi Strategik “Russia–Islamic World.”
Menurut Anwar, mesyuarat yang akan berlangsung hari ini adalah kesinambungan komitmen bersama termasuk kerajaan Malaysia untuk memperkukuh persefahaman, dialog antara agama dan keterangkuman sejagat.
"Usai pertemuan dan jamuan, saya dibawa melawat Cathedral of the Annunciation yang terletak di dalam kawasan Kazan Kremlin.
"Kagum melihat binaan bersejarah abad ke-16 ini yang menggambarkan keagungan seni bina Ortodoks Rusia dan menjadi saksi kepada sejarah panjang pertembungan budaya di wilayah ini
Berhadapan dengan katedral ini berdiri megah Masjid Kul Sharif, simbol penting peradaban Islam di Tatarstan. Keberadaan dua rumah ibadah ini secara bersebelahan melambangkan semangat persefahaman dan keharmonian antara penganut agama berbeza yang telah lama berakar di bumi Rusia," katanya lagi.