Isu MB Perlis: Ulasan podcast Yang Berhenti Menteri tidak tepat — Amin Ahmad
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 2 min read

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perlis, Noor Amin Ahmad (gambar) menegaskan beberapa kenyataan yang dirujuk terhadap dirinya dalam sebuah episod podcast "Yang Berhenti Menteri" semalam, adalah tidak tepat dan mengandungi maklumat yang mengelirukan.
Menurutnya, kenyataan media beliau berkaitan isu Menteri Besar (MB) Perlis yang diulas dalam podcast itu telah dikeluarkan lebih awal dan boleh dirujuk di platform media sosial miliknya, selain pandangan berhubung krisis politik Perlis yang kerap dikongsikan terutama di media sosial.
"Pandangan-pandangan saya mengenai isu MB di Perlis banyak dimuatkan di media sosial terutama FB. Kenyataan saya adalah berdasarkan bacaan politik daripada maklumat-maklumat yang diterima tentang situasi yang ada. YB @rafiziramli sendiri dalam podcast beliau menyatakan situasi retak menanti belah antara Pas-Bersatu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Noor Amin menegaskan beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan kedua atau menerima sebarang arahan parti berkaitan isu MB Perlis.
"Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan kedua dan tidak menerima sebarang arahan daripada parti mengenainya. Ia adalah kenyataan Ketua Pemuda PH yang dikeluarkan kepada media keesokan harinya.
"Walaupun begitu, cadangan agar MB kekal ke akhir penggal boleh saya persetujui kerana dalam kenyataan-kenyataan saya di media sosial jelas menyatakan bahawa krisis ini tidak sepatutnya berlaku pun sekiranya diurus (oleh Perikatan Nasional) dengan betul," jelasnya.
Mengulas kemungkinan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), Noor Amin menegaskan, PH Perlis perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuklah pilihan raya negeri.
"Sama ada bersedia atau tidak, sekiranya keputusan akhir ialah perlu diadakan pilihan raya negeri, PH Perlis perlu bersedia. Ini adalah kemungkinan yang tidak boleh diabaikan," ujarnya.
Beliau yang juga Pengerusi KEADILAN Perlis menafikan spekulasi kononnya berminat untuk menjadi Menteri Besar Perlis.
"Spekulasi bahawa saya berminat menjadi MB jelas menunjukkan moderator (podcast) tidak mengenali saya dan tidak cukup maklumat tentang Perlis. Rakan-rakan dalam PH dan BN tahu saya tidak berminat bertanding kerusi DUN," katanya.
Menurut Noor Amin, walaupun sekiranya beliau diminta bertanding sekalipun, pelantikan Menteri Besar adalah hak prerogatif Istana.
Selain itu, dalam kenyataan sama beliau menafikan dakwaan bahawa dirinya bakal menggantikan Datuk Seri Shamsul Iskandar sebagai Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, sambil menyatakan perkara tersebut tidak pernah berbangkit sebelum ini.
"Saya terkejut kerana ini pertama kali mendengar bahawa saya akan mengganti tempat Shamsul Iskandar. Sehingga kini saya belum pernah mendengar daripada sesiapa, walaupun mengenali ramai rakan di Pejabat Perdana Menteri."
Mengimbas penglibatannya dalam KEADILAN, Noor Amin berkata beliau pernah beberapa kali dipelawa berkhidmat di pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim, termasuk pernah berkhidmat sebagai Pengurus di Diwan Reformasi pada 2014 hingga 2015.
"Saya berhenti selepas Datuk Seri Anwar dipenjarakan. Saya tidak pernah melobi apa-apa jawatan daripada Datuk Seri Anwar atau pimpinan parti," tambahnya.
Menurut beliau, prinsip perjuangannya dalam politik adalah berteraskan kesetiaan kepada parti dan kepimpinan menjayakan agenda parti demi negara.
"Dalam politik saya sentiasa adalah orang parti. I am a party man. Pemimpin nombor satu saya dalam parti hanyalah Presiden. Dan menjadi tugas anggota parti membantu Presiden dan parti untuk menjayakan agenda parti," akhirinya.





