top of page

Peruntukan DUN: Pemuda AMANAH Perak kecam kenyataan perkauman ADUN Kamunting

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 29 minutes ago
  • 2 min read

ree

Pemuda Parti AMANAH Negara (AMANAH) Perak mengecam keras kenyataan berbaur perkauman yang dikeluarkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kamunting, Fakhrudin Abd Aziz, yang mendakwa Kerajaan Negeri Perak menyisihkan wakil rakyat Melayu apabila tidak memberikan peruntukan khas kepada 26 ADUN pembangkang.


Ketua Pemuda AMANAH Perak, Khairol Najib Hashim (gambar) berkata, dakwaan tersebut bersifat menghasut dan tidak bertanggungjawab kerana berpotensi mencetuskan ketegangan kaum.


"Dakwaan tersebut bukan sahaja tidak benar, malah merupakan satu bentuk fitnah politik yang bertujuan mencetuskan ketegangan kaum dan memburukkan reputasi Kerajaan Negeri Perak yang selama ini berusaha mengangkat kesejahteraan seluruh rakyat, tanpa mengira latar belakang politik, bangsa atau agama," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut beliau, dakwaan bahawa Kerajaan Negeri meminggirkan rakyat di kawasan pembangkang adalah tidak berasas kerana peruntukan dan bantuan tetap disalurkan melalui mekanisme baharu yang lebih telus.


"Hakikatnya, Kerajaan Negeri Perak tidak pernah meminggirkan rakyat di kawasan pembangkang. Peruntukan khas tetap disalurkan melalui mekanisme baru menerusi Pegawai Khas YAB Menteri Besar Perak yang dilantik di setiap DUN pembangkang, bagi memastikan bantuan sampai terus kepada rakyat secara telus dan berpaksikan dasar kerajaan," jelasnya.


Khairol berkata, mekanisme tersebut diwujudkan susulan penyalahgunaan peruntukan sebelum ini yang digunakan untuk kepentingan politik pihak tertentu.


"Pemberian secara terus kepada ADUN pembangkang sebelum ini telah disalahgunakan. Mereka bukan sahaja tidak mengiktiraf sumbangan kerajaan, malah terus menyerang dan memfitnah Kerajaan Negeri secara terbuka," katanya.


Beliau menegaskan isu berkenaan telah dijelaskan secara terperinci oleh Menteri Besar Perak dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), namun masih ada pihak yang sengaja menghidupkan sentimen perkauman kononnya kerana semua ADUN pembangkang itu Melayu, maka kerajaan menindas orang Melayu.


Khairol menegaskan bahawa isu sebenar bukanlah soal kaum, sebaliknya berkaitan integriti dan ketelusan dalam pengagihan peruntukan.


Sehubungan itu, Pemuda AMANAH Perak menggesa semua pihak menghentikan politik kebencian dan perkauman yang boleh merosakkan keharmonian masyarakat.


"Rakyat tidak perlukan pemimpin yang gemar menghasut, sebaliknya pemimpin yang berani memperjuangkan kebenaran dan bekerja untuk semua," katanya lagi.


Untuk rekod, Fakhrudin dalam hantaran di Facebook semalam mengkritik pengumuman Menteri Besar Perak di Sidang DUN bahawa ADUN pembangkang tidak akan menerima sebarang peruntukan khas.


Beliau mendakwa hal itu satu tindakan berat sebelah, tidak profesional dan mencabuli prinsip demokrasi.


Dakwanya, Kerajaan Negeri seolah-olah mahu menghukum rakyat hanya kerana memilih wakil pembangkang. Lebih parah, 26 ADUN pembangkang mewakili majoriti pengundi Melayu, dan memberi gambaran bahawa hak pengundi Melayu di Perak sedang dinafikan.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page