top of page

PM junjung titah Agong, siasatan RCI TH dilaksana tanpa kompromi

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 day ago
  • 2 min read
Sultan Ibrahim menerima mengadap Perdana Menteri di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur hari ini. Foto: FB Sultan Ibrahim
Sultan Ibrahim menerima mengadap Perdana Menteri di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur hari ini. Foto: FB Sultan Ibrahim

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa siasatan berhubung Laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji akan dilaksanakan secara menyeluruh dan tanpa sebarang kompromi.


Beliau berkata, perkara itu selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim agar setiap dapatan dan syor RCI diteliti serta disiasat secara tuntas.


"Titah Baginda Tuanku agar siasatan berhubung Laporan RCI Lembaga Tabung Haji dilaksanakan secara menyeluruh adalah selari dengan iltizam Kerajaan MADANI untuk memastikan setiap syor dan dapatan disiasat secara tuntas tanpa sebarang kompromi," katanya dalam muat naik di media sosial.


Anwar berkata, Tabung Haji menguruskan amanah hasil titik peluh jutaan rakyat termasuk petani, penjawat awam serta golongan berpendapatan sederhana dan rendah yang menabung selama bertahun-tahun untuk menunaikan ibadah haji.


Katanya, amanah tersebut tidak seharusnya dikhianati dan mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakan kepercayaan itu perlu berdepan tindakan undang-undang.


"Amanah sebesar ini tidak seharusnya dikhianati. Justeru, sesiapa yang didapati menyalahgunakan kepercayaan tersebut hendaklah diheret ke muka pengadilan menurut lunas undang-undang," katanya.


Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri berkata Yang di-Pertuan Agong turut menyentuh isu berkaitan FELDA ketika pertemuan tersebut.


"Saya telah menyembah maklum mengenai kemajuan siasatan serta laporan Pasukan Petugas Khas yang sedang diperhalusi Kerajaan agar segala penemuan diteliti secara menyeluruh dan tindakan sewajarnya diambil menurut lunas undang-undang," katanya.


Anwar menegaskan Kerajaan MADANI akan terus berpegang kepada prinsip tatakelola baik, ketelusan dan kebertanggungjawaban bagi memastikan keadilan ditegakkan.


"Kerajaan MADANI terus berpegang teguh kepada prinsip tatakelola baik, ketelusan dan kebertanggungjawaban, dengan memastikan keadilan ditegakkan serta setiap pengkhianatan terhadap amanah rakyat dikenakan tindakan tegas tanpa mengira kedudukan atau pangkat," katanya.


Beliau turut memberi jaminan kerajaan akan memperkukuh kawalan keselamatan di semua pintu masuk negara menerusi penguatkuasaan berkesan, pemantauan berterusan serta kerjasama antara agensi bagi membendung jenayah rentas sempadan.


Katanya, langkah itu penting bagi memelihara keselamatan dan kedaulatan negara.


"Insya-Allah, saya dan seluruh jentera Kerajaan akan sentiasa menjunjung titah Baginda Tuanku demi memperkukuh tadbir urus, penguatkuasaan dan keselamatan negara, sekali gus menjamin kesejahteraan rakyat keseluruhannya," katanya lagi.


Terdahulu, Sultan Ibrahim bertitah supaya siasatan berhubung Laporan Siasatan RCI TH dijalankan 'sehingga ke lubang cacing' bagi memastikan setiap pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya.


Menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim hari ini, baginda turut bertitah supaya siasatan dilaksanakan secara menyeluruh tanpa berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page