top of page

PM jangan lepaskan peluang jadikan sesi Parlimen Julai - Ogos "Sidang Reformasi"



Sidang Parlimen Penggal Kelima, Mesyuarat Kedua pada 18 Julai hingga 4 Ogos ini haruslah dijadikan "Sidang Reformasi" yang bersejarah.


Tokoh DAP, Lim Kit Siang berkata, Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sepatutnya tidak melepaskan peluang untuk menjadikan sidang Dewan Rakyat tersebut sebagai bersejarah dengan meminta Kabinet pada esok hari mengarahkan dan memberikan kuasa kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjadikan sidang berkenaan meluluskan beberapa undang undang besar seperti Akta Anti Lompat Parti dan pemansuhan hukuman mati mandatori.


"Wan Junaidi telah katakan semalam yang kerajaan menjangkakan pembentangan undang-undang pemansuhan hukuman mati mandatori dalam 11 peruntukan undang-undang, dalam satu sidang Parlimen pada bulan Oktober. Manakala Januari 2023 akan menjadi tarikh akhir untuk pelaksanaan pemansuhan hukuman mati mandatori di Malaysia.


"Kabinet dalam mesyuaratnya esok seharusnya menggesa Wan Junaidi untuk membentangkan pindaan yang diperlukan itu dalam sidang Parlimen Julai-Ogos ini. Tetapi sekiranya perkara itu tidak dapat dilakukan mereka perlu menunjukkan komitmen yang jelas untuk membawa pindaan yang diperlukan ke Parlimen menjelang bulan Oktober," kata Kit Siang dalam kenyataan hari ini.


Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu juga mencadangkan agar mesyuarat Kabinet esok memberi komimen kukuh terhadap beberapa perkara seperti moratorium pelaksanaan hukuman mati dalam tempoh sebelum pindaan; menerbitkan kepada orang awam Laporan Richard Malanjum mengenai Hukuman Alternatif kepada Hukuman Mati Mandatori dan Parlimen tidak akan dibubarkan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 sehinggalah perkenan Seri Paduka Baginda diberikan kepada undang-undang anti-lompat parti dan pemansuhan hukuman mati mandatori.


Selain itu, katanya, sidang Dewan pada Julai ini juga boleh jadi bersejarah andainya pentadbiran PM Ismail bertindak di atas nasihat Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong untuk merangka pelan jangka panjang memastikan Malaysia dapat mencapai aspirasinya sebagai sebuah negara hebat bertaraf dunia dengan mengembalikan negara kepada prinsip-prinsip asas yang telah dipersetujui oleh bapa penubuhan negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara


Menurut Kit Siang lagi, Malaysia dalam setengah abad telah terpesong dari jalan menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia ke kedudukan dalam bahaya untuk menjadi sebuah negara gagal dalam beberapa dekad sekiranya tidak ada usaha menetapkan semula prinsip pembinaan negara kepada prinsip-prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan dan Rukun Neegara.


"Kita juga telah gagal untuk mencapai matlamat Pelan Integriti Nasional untuk menjadi salah satu daripada 30 negara paling kurang rasuah menjelang 2008.


"Kita tidak berjaya mencapai objektif Pelan Pendidikan Malaysia (MEB) 2013-2025 untuk memacu transformasi pendidikan di mana kita masih gagal mencapai objektif untuk berada dalam satu pertiga teratas penilaian-penilaian antarabangsa seperti Programme for International Student Assessment (PISA) dan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) menjelang 2025," katanya.


Beliau juga berpendapat sidang Parlimen bulan hadapan akan menjadi bersejarah jika dapat memulakan satu kempen anti-rasuah baharu memandangkan terdapat peningkatan tahap rasuah di setiap peringkat dalam negara


Oleh itu, Kit Siang mahu segera ditangani isu isu seperti pendedahan bekas Ketua Setiausaha Negara dibayar RM30,000 sebulan untuk tidak berbuat apa-apa dengan 1MDB; hala tuju Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah yang mana sekiranya tidak diperbetulkan akan menyaksikan Malaysia menjadi salah satu negara paling korup di Asia dan keperluan pemimpin politik dan agama menunjukkan contoh yang baik dalam integriti awam


"Tidak ada perkara yang lebih membantu dalam usaha anti-rasuah ini berbanding dengan usaha pembersihan syarikat berkenaan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) oleh Perdana Menteri dengan mengisytiharkan jumlah gaji dan elaun yang diterima oleh ketua-ketua badan-badan GLC dan GLIC, sama ada 1MDB, Petronas, Khazanah, KWSP, Permodalan Nasional Bhd (PNB), Lembaga Tabung Haji (LTH), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Axiata Group Bhd, Telekom Malaysia Berhad, Tenaga Nasional Bhd, Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN), Kumpulan Wang Pesaraan (KWAP), Ministry of Finance Inc (MoF Inc), Maybank, Sime Darby Bhd., CIMB Group Holdings, MISC Bhd, Proton Holdings dan juga Malaysian Resources Corporation Bhd," katanya lagi.


Kit Siang menyokong usaha kerajaan pada Ogos tahun lepas mengumumkan Perkukuh dengan 20 inisiatif untuk menambah baik GLC dan GLIC di Malaysia.


Bagaimanapun, katanya apa yang tidak cukup adalah usaha untuk menjadikan GLC dan GLIC sebagai model tauladan akauntabiliti, ketelusan, dan integriti awam memandangkan GLC dan GLIC ini dicemari oleh ahli-ahli politik.


Oleh itu, sebagai PM yang mempunyai hayat kuasa antara terpendek Ismail Sabri katanya boleh mengukir sejarah sekiranya beliau membawa perubahan besar yang bermula dalam mesyuarat Kabinet esok dan sidang Parlimen Julai ini.

0 comments

Recent Posts

See All

Comentários


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page