Pelaburan RM426.7 b: Malaysia di landasan betul, diyakini pelabur - KEADILAN Perak
- Redzuan Shamsudin

- 7 hours ago
- 2 min read

Pencapaian pelaburan diluluskan sebanyak RM426.7 bilion pada tahun 2025 disifatkan KEADILAN Perak sebagai bukti keyakinan pelabur terhadap pemerintahan Kerajaan MADANI.
Ketua Penerangan Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Perak, Azam Afandi berkata, pihaknya merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas pencapaian tersebut yang disifatkan sebagai yang tertinggi dalam sejarah negara.

"Pencapaian ini bukan sekadar angka statistik ekonomi, tetapi merupakan manifestasi nyata bahawa Malaysia kembali berada pada landasan yang kukuh dan diyakini oleh pelabur tempatan serta antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, kejayaan tersebut mencerminkan keyakinan global terhadap kestabilan politik negara, dasar ekonomi yang progresif serta komitmen kerajaan dalam memperkukuh tadbir urus yang telus dan berintegriti.

Azam berkata, dalam tempoh mencabar di peringkat global kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri berjaya mengemudi ekonomi negara melalui pendekatan seimbang yang menekankan reformasi struktur ekonomi, pengukuhan institusi serta pelaksanaan dasar yang mengutamakan kesejahteraan rakyat dan pembangunan mampan.
"KEADILAN Perak percaya peningkatan pelaburan ini akan memberi limpahan manfaat besar kepada rakyat melalui penciptaan peluang pekerjaan berkualiti, pembangunan teknologi baharu serta pengukuhan rantaian industri," katanya.
Beliau menambah bahawa pencapaian tersebut juga membuktikan pendekatan Kerajaan MADANI yang menekankan nilai keadilan, integriti, kebertanggungjawaban dan tadbir urus baik semakin mendapat pengiktirafan masyarakat antarabangsa.
Sehubungan itu, KEADILAN Perak menyeru rakyat agar melihat perkembangan tersebut sebagai petanda positif terhadap masa depan ekonomi negara serta pentingnya mengekalkan kestabilan politik dan kesepakatan nasional.
"Dengan kepimpinan berprinsip, dasar ekonomi yang jelas serta komitmen berterusan terhadap reformasi institusi, Malaysia diyakini mampu terus muncul sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini," katanya lagi.
Justeru itu, kata beliau, KEADILAN Perak akan terus berdiri teguh menyokong segala usaha Kerajaan MADANI dalam memacu pembangunan ekonomi yang mampan, adil dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia.




Comments