top of page

PM jamin semua aliran pendidikan diberi perhatian seimbang

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 16 minutes ago
  • 2 min read
PM di Majlis Perasmian Karnival Gelombang MADANI Masjid Tanah, di Alor Gajah, semalam
PM di Majlis Perasmian Karnival Gelombang MADANI Masjid Tanah, di Alor Gajah, semalam

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan akan memastikan keperluan semua kaum dan aliran pendidikan di negara ini, diberi perhatian secara seimbang tanpa meminggirkan mana-mana pihak.


Menurutnya, langkah kerajaan memberi bantuan kepada institusi pendidikan Islam, bukan bermakna kerajaan mengabaikan sekolah vernakular, sebaliknya peruntukan kepada sekolah Cina dan Tamil telah diluluskan dan akan diumumkan dalam masa terdekat.


"Negara ini kalau nak aman, kena bagi dan jaga semua. Anak-anak sekolah pondok, maahad tahfiz, ramai yang terbiar, tak ada bantuan, maka kita tingkatkan bantuan.


"Jadi sekali lagi saya tekankan, untuk program dan bantuan sekolah Cina dan Tamil, kita bagi dah jadual dalam dua minggu lagi diumumkan di Kuala Lumpur," katanya di Majlis Perasmian Karnival Gelombang MADANI Masjid Tanah, di Alor Gajah pada Jumaat.


Sementara itu menurutnya, Malaysia merupakan contoh sebuah negara majmuk yang berjaya mengekalkan perpaduan, apabila rakyat daripada pelbagai latar belakang dapat hidup dalam suasana saling menghormati.


Justeru pentadbirannya mengambil pendekatan untuk memastikan setiap lapisan masyarakat menerima perhatian sewajarnya, sekali gus mengekalkan keamanan dan keharmonian negara yang berbilang kaum serta agama.


"Kita ini aman. Bayangkan, ada Cina, ada India dan ramai juga Melayu di sini, ada sekolah agama, maahad tahfiz, tapi dengan aman. Orang hormat satu sama lain.


"Kalau di negeri dan negara lain, susah. Negara yang pelbagai kaum nak berhimpun macam ini, kerana syak wasangka, benci, tak percaya dan ada permusuhan. Akhirnya negara jadi korban," kata Anwar.


Pada majlis tersebut beliau turut mengumumkan peruntukan keseluruhan RM1.29 juta bagi membaik pulih insfrastruktur 13 institusi pendidikan Islam di Melaka.


Antara institusi yang menerima peruntukan ialah Madrasah Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Kota Melaka (RM250,000), Sekolah Rendah Arab Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Pernu (RM200,000), Sekolah Menengah Arab JAIM Al-Ahmadiah Al-Syafi'iyah Sayyidina Khadijah, Jasin (RM160,000), Sekolah Agama Rakyat JAIM Durian Tunggal (RM140,000) dan Sekolah Agama Rakyat JAIM Taman Maju (RM100,000).

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page