PM jamin sektor pendidikan diutamakan walau berdepan krisis global
- Azuan Ab Rahman

- 7 hours ago
- 2 min read

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan komitmen untuk terus meletakkan pendidikan sebagai teras keutamaan kerajaan walaupun dunia kini sedang menghadapi ketidaktentuan susulan krisis tenaga global.
Beliau pada Sabtu beliau menegaskan, langkah tersebut penting bagi memastikan mutu pendidikan untuk generasi masa depan tidak terjejas.
"Banyak negara kerana kebetulan sengketa dan perseteruan dengan negara-negara jiran dan rantau, terpaksa membelanjakan peruntukan yang tinggi untuk keselamatan.
"Oleh itu peruntukan untuk pendidikan itu agak terbelakang. Generasi berikutnya tentu akan terkesan bila mutu pendidikan dan kemudahannya itu agak hambar," katanya dipetik dalam ucapan ketika menghadiri Sesi Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Warga dan Bekas Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford Kuala Kangsar.
Beliau yang juga Menteri Kewangan turut menegaskan bahawa projek kecil yang menyentuh keperluan harian pelajar, termasuk pembaikan kemudahan asas, mesti disegerakan tanpa berlengah.
Sementara itu, Anwar ketika menghadiri Majlis Temu Anwar Bersama Warga Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) semalam turut mengumumkan peruntukan RM800,000 bagi kerja-kerja menaik taraf sistem penyaman udara dan elektrikal di Dewan Hargreaves, kolej berkenaan.
Beliau berharap peruntukan itu dapat memastikan kemudahan di institusi berkenaan berada dalam keadaan lebih selesa untuk kegunaan warga sekolah dalam pelbagai aktiviti dan program.
Beliau yang juga Alumni MCKK berkata, sekolah berkenaan mempunyai sejarah panjang serta pencapaian membanggakan dalam melahirkan ramai pemimpin dan tokoh negara dalam pelbagai bidang.
Justeru generasi baharu pelajar diharap dapat terus mengangkat kecemerlangan institusi itu, bukan sekadar bersandarkan sejarah, sebaliknya meneruskan legasi dengan pencapaian yang lebih gemilang.
"Sudah tentu saya berasa bangga dapat kembali ke sekolah yang banyak memberikan pendedahan, pencerahan dan latihan sepanjang tujuh tahun di sini.
"Saya ingin merakamkan penghargaan kepada guru-guru serta rakan-rakan atas jasa dan khidmat yang tidak mampu saya balas kerana budi mereka terlalu tinggi," katanya.
Turut hadir pada acara tersebut ialah Exco Pendidikan Perak yang mewakili Menteri Besar, Datuk Khairudin Abu Hanipah; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek serta Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Wah.




Comments