
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ditemani Isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menziarahi Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Hospital Putrajaya semalam.
Perkara itu dikongsikan Anwar menerusi hantaran di laman Facebooknya dengan memuat naik beberapa keping gambar.
"Mendoakan Tuanku Raja Perlis dikurniakan aafiyah, Insha-Allah," kata Perdana Menteri dalam hantaran tersebut.
Tuanku Syed Sirajuddin sebelum ini dilapor menjalani pembedahan kaki dan buku lali di Hospital Putrajaya.
Istana Arau dalam kenyataan pada Ahad lepas memaklumkan pembedahan selesai dengan jayanya tanpa sebarang masalah pada 6.40 petang Sabtu dan Tuanku berada dalam keadaan stabil.