PM, isteri ucap takziah mangsa nahas di Gerik, mengorbankan 15 pelajar
- Suara Keadilan
- Jun 9
- 1 min read

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail mengucapkan takziah kepada keluarga 15 pelajar yang terkorban dalam kemalangan maut melibatkan sebuah bas rombongan di Gerik, Perak.
PM mendoakan agar keluarga mangsa diberi ketabahan menghadapi dugaan tersebut.
"Saya dan Azizah amat berdukacita menerima perkhabaran nahas tragis awal pagi tadi berhampiran Gerik yang melibatkan sebuah bas dan beberapa kenderaan lain, mengorbankan 15 pelajar.
Takziah kepada semua keluarga mangsa. Kami mendoakan agar kalian diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan yang amat berat ini," katanya dalam kenyataan.
Dalam kenyataan sama PM turut mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menyelaras bantuan sewajarnya buat keluarga mangsa.
"Musibah menyayat hati sebegini yang sering kali berulang seharusnya menjadi pengajaran buat semua agar sentiasa berhati-hati dan usah terburu-buru mengejar destinasi. Nyawa kalian terlalu berharga dan tiada galang ganti," kata PM lagi.
Sebanyak 15 individu dilaporkan maut dalam nahas membabitkan sebuah bas dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding, Gerik dipetik Sinar Harian.
Kematian melibatkan 13 mangsa di lokasi kejadian manakala dua lagi meninggal dunia di hospital.
Nahas yang berlaku sekitar jam 1 pagi itu melibatkan sebuah bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak dalam satu kenyataan memaklumkan, laporan kemalangan tersebut melibatkan 48 mangsa. Maklumat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia menyatakan sebanyak 7 mangsa dirawat di zon merah, 20 orang di zon kuning dan 6 lagi di zon hijau.
Comments