
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkesempatan mengislamkan seorang saudara baharu selepas solat Jumaat di Masjid Ar Rahimiah, Klang, Selangor petang tadi.
Beliau mengajarkan ucapan dua kalimah syahadah kepada lelaki berusia 27 tahun menggunakan nama Muhamad Anwar Karthiban yang kemudian sah memeluk Islam disaksikan jemaah solat Jumaat tersebut.
Terdahulu, Anwar bersama kira-kira 1,000 jemaah menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan.
Pengislaman seorang mualaf itu mengingatkan sosok Anwar ketika muda 50 tahun lalu bersama ABIM yang banyak berdakwah dan terlibat mengislamkan suku Orang Asli dan sebagainya.
Turut hadir menunaikan solat Jumaat di Masjid Ar Rahimiah petang tadi adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.